PM Jepun Abe dijangka letak jawatan

Shinzo Abe
Shinzo Abe
A
A
A
TOKYO - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe dijangka melepaskan jawatannya atas sebab kesihatan, memetik sumber Parti Liberal Demokratik (LDP) pada Jumaat.

Beliau dijadual bertemu media pada 5 petang (waktu tempatan) dan ia adalah sidang media pertamanya sejak 18 Jun, antara lain bagi menjawab spekulasi mengenai keadaan kesihatannya.

Pada Ogos, Presiden LDP berusia 65 tahun itu dilaporkan menjalani pemeriksaan kesihatan di hospital dan pada Julai beliau dikatakan mengalami muntah darah.

Persoalan mengenai kesihatan Abe mula menjadi tumpuan kebelakangan ini memandangkan beliau pernah secara tiba-tiba mengundurkan diri kerana menghidap penyakit berkaitan usus pada 2007, hanya setahun selepas menjadi Perdana Menteri.

Beliau kembali menjadi Perdana Menteri pada 2012. Pada 24 Ogos, beliau muncul sebagai Perdana Menteri paling lama berkhidmat di Jepun, mengatasi rekod sebelumnya 2,798 hari yang dipegang datuk saudaranya, Eisaku Sato (1901-1975).

Tahap kesihatan Abe terus menjadi perhatian baru-baru ini, apabila beliau dilihat kurang menonjolkan diri serta tidak mengadakan sidang media hampir 50 hari antara pertengahan Jun dan awal Ogos.

Langkah-langkah pencegahan koronavirus (Covid-19) diambil kerajaan menerima banyak kritikan termasuk kempen "Go To Travel" yang diperkenalkan Abe.

Tinjauan pendapat Kyodo News pada Julai mendapati 59.1 peratus koresponden tidak berpuas hati dengan tindakan kerajaan dalam membendung wabak Covid-19. - Bernama

Artikel Berkaitan: