Tempoh pajakan 999 tahun ikut polisi kerajaan, kata Shafie Apdal

Mohd Shafie
Mohd Shafie
A
A
A

SHAH ALAM - Langkah Kerajaan Sabah memanjangkan tempoh pajakan tanah dari 99 tahun kepada 999 tahun dibuat mengikut polisi kerajaan, tegas Ketua Menterinya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Menurut beliau, walaupun ada kes sedang dibicarakan, kerajaan negeri boleh membuat rayuan atau melawannya di mahkamah.

"Saya tegaskan di sini dan ingin menjawab tuduhan sesetengah pemimpin politik yang mendakwa langkah kerajaan memanjangkan tempoh pajakan tanah kepada 999 tahun disebabkan ada kes mahkamah yang sedang berjalan.

"Untuk makluman semua, keputusan tersebut adalah atas polisi kerajaan sama ada mahu melaksanakannya atau tidak, justeru tiada kena mengena dengan kes mahkamah itu.

"Hakikatnya, dasar kerajaan terdahulu ialah tempoh pajakan hanya 99 tahun, justeru Kabinet berbincang dan bersetuju memanjangkan tempoh itu untuk membantu pemaju serta rakyat dalam pemilikan hartanah," katanya dalam satu kenyataan menerusi Facebooknya hari ini.

Semalam di Nabawan, beliau mengumumkan rancangan untuk mengembalikan pajakan selama 999 tahun.

Katanya, keputusan Kabinet Sabah itu selaras dengan keputusan Mahkamah Tinggi pada 8 Mac lepas bahawa syarat yang ditetapkan Jabatan Tanah dan Ukur untuk mengurangkan tempoh pajakan daripada 999 tahun kepada 99 tahun untuk kelulusan pembangunan dan pembahagian adalah menyalahi undang-undang.

Mengulas lanjut, Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) itu berkata, beliau berbuat demikian kerana mahu membantu kontraktor.

Artikel Berkaitan:

"Saya bincang dalam Kabinet (Sabah), ada kes mahkamah, saya tahu kes mahkamah, kita boleh rayu lawan mahkamah tapi saya tahu saya perlu bantu usahawan dan pemaju.

"Saya cakap cukup dengan 99, saya mahu berikan kepada pemaju kita 999 tahun, bila saya bagi ini Ketua Menteri hipokrit, ini mahkamah punya keputusan.

"Mahkamah punya keputusan anda cuma boleh merayu, polisi kerajaan sebelum ini 99 tahun tetapi saya tukar kepada 999 bukan ditukar oleh mereka, itu bukan ditukar oleh mahkamah tetapi kerajaan negeri dalam Kabinet," katanya.

Tambah beliau, keputusan memanjangkan tempoh pajakan kepada 999 tahun itu disambut baik bukan sahaja oleh golongan pemaju tetapi rakyat sendiri dalam pemilikan hartanah.

"Bagaimanapun, pemimpin pembangkang yang melihat sambutan baik terhadap dasar itu kemudiannya memainkan propaganda kononnya tambahan tempoh pajakan kepada 999 tahun disebabkan ada kes mahkamah terhadap tempoh 99 tahun yang dilaksanakan sebelum ini.

"Apa yang penting adalah rakyat secara keseluruhan mendapat manfaat daripada perkara ini," katanya.