Pasarkan produk ke luar negara

Rosol (tiga dari kanan) ketika membuat gimik pelancaran Kempen Beli Barangan Malaysia@The Store 2020 di SB Mall, Bukit Rahman Putra semalam. - Foto ASRIL ASWANDI SHUKOR
Rosol (tiga dari kanan) ketika membuat gimik pelancaran Kempen Beli Barangan Malaysia@The Store 2020 di SB Mall, Bukit Rahman Putra semalam. - Foto ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

SUNGAI BULOH - Agensi pembangunan usahawan atau badan usahawan di negeri-negeri khususnya disaran untuk tampil bekerjasama membantu usahawan atau pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi memasarkan produk mereka ke luar negara.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid berkata, ia amat penting supaya golongan tersebut mempunyai ilmu dalam mempertingkatkan produk mereka termasuk dari segi pembungkusan serta kualiti barangan.

Beliau berkata, dengan adanya sokongan dari segi latihan atau bimbingan daripada agensi pembangunan usahawan atau badan ekonomi di negeri-negeri ini akan lebih memudahkan usaha untuk usahawan atau PKS tersebut mengetengahkan produk mereka yang benar-benar bermutu.

“Jadi produk-produk mereka dapat dipastikan dari segi kualiti agar setanding dengan produk luar negara.

“Apabila produk PKS kita terbukti bermutu, saya yakin ia mampu untuk menembusi pasaran luar negara dengan mudah,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Kempen Beli Barangan Malaysia@The Store 2020 di Market Place by The Store, SB Mall di sini semalam.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad; Ketua Pegawai Operasi Kumpulan The Store, Cheng Ta Chih dan Pengurus Besar Bahagian Pasar Raya Kumpulan The Store, Mark Loo.

Selain itu beliau berkata, kerajaan turut menyediakan latihan serta bimbingan kepada peruncit serta golongan PKS bagi meningkatkan mutu produk mereka agar setanding dengan produk antarabangsa, di samping mendedahkan mereka tentang platform e-dagang supaya produk mereka boleh dipasarkan ke mana-mana sahaja.

Dalam perkembangan sama, Rosol berkata, kerajaan juga positif dapat meningkatkan penembusan produk PKS tempatan ke dalam sektor peruncitan terutamanya di rangkaian pasar raya di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, ia disebabkan pada tahun 2015, sejumlah 17,771 stock keeping unit (SKU) produk PKS tempatan telah disenaraikan di rangkaian pasar raya besar negara dengan nilai hasil jualan berjumlah RM163,721,602 juta.

“Pada tahun 2019, ia mencatatkan peningkatan penyenaraian produk kepada 31,009 SKU dengan nilai hasil jualan berjumlah RM667,368.501 juta.

“Saya percaya dengan usaha berterusan dan kerjasama di antara KPDNHEP dan peruncit di negara ini, jumlah ini akan terus dipertingkatkan bukan sahaja untuk penembusan dalam negara malah untuk pasaran eksport,” katanya.

Sementara itu, Mark dalam ucapannya berkata, bagi kempen Beli Barangan Malaysia@The Store 2020 pihaknya menyasarkan sebanyak 80 peratus produk tempatan buatan Malaysia bagi menggalakkan pelanggan membeli barangan buatan tempatan termasuk barangan keperluan harian, keperluan isi rumah, peralatan elektrik dan banyak lagi.

“Pelbagai aktiviti menarik dan program dilancarkan sepanjang kempen antaranya melalui tawaran penjimatan hebat sehingga 30 peratus untuk produk tempatan, tawaran harga rata dari RM5 dan RM10, aktiviti belian dengan belian, peraduan dan sebagainya.

“Kita juga menyediakan platform e-dagang iaitu The Store Online dan Pacific Online sebagai medium promosi yang memberikan pilihan kepada pengguna melakukan transaksi pembelian atas talian,” katanya.