Duit RM236,994 dalam bank lesap!

Pesara wanita diperdaya sindiket penipuan yang menyamar polis kononnya dia terlibat dalam kes pengubahan wang haram. - Foto hiasan 123RF
Pesara wanita diperdaya sindiket penipuan yang menyamar polis kononnya dia terlibat dalam kes pengubahan wang haram. - Foto hiasan 123RF
A
A
A

KUANTAN - Seorang pesara wanita kerugian RM236,994 apabila wang dalam akaun bank miliknya dipindahkan pihak lain ke akaun bank atas nama individu tidak dikenali, kelmarin.

Nasib malang menimpa mangsa berusia 66 tahun itu dipercayai angkara sindiket penipuan menyamar polis yang memperdaya warga emas itu dengan dakwaan terlibat dalam kes pengubahan wang haram.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa diarah menyerahkan maklumat akaun bank bagi tujuan siasatan dan membersihkan namanya daripada salah laku jenayah berkait kes tersebut.

Menurutnya, suspek dipercayai menggunakan maklumat akaun bank tersebut untuk memindahkan wang milik mangsa ke akaun lain hingga wanita itu mengalami kerugian.

“Penipuan ke atas mangsa bermula pada 23 Julai lalu selepas dia menerima panggilan daripada lelaki tidak dikenali memaklumkan berhubung kiriman bungkusan yang mengandungi kad pengenalan dan beberapa kad bank miliknya.

“Mangsa yang menafikan kaitannya dengan kiriman tersebut disambung kepada seorang anggota polis menggunakan nama Sarjan Chong untuk semakan sebelum dimaklumkan dia juga dikehendaki polis kerana disyaki terlibat dalam kes pengubahan wang haram. Bagi melepaskan mangsa dengan kes tersebut, suspek mengarahkan wanita itu mengikut arahan termasuk menyerahkan maklumat akaun bank bagi tujuan siasatan,” katanya.

Mohd Wazir
Mohd Wazir

Mohd Wazir berkata, pada 3 Ogos lalu, mangsa menerima panggilan daripada suspek sama mengarahkan dia memasukkan dokumen tersebut dalam sampul dan meletakkannya di sebuah pondok telefon berdekatan sebuah masjid di Beserah di sini.

Artikel Berkaitan:

“Mangsa akur dan mengikuti arahan suspek kerana bimbang berdepan tindakan undang-undang,” katanya.

Beliau berkata, mangsa menyedari wang dalam akaun bank miliknya lesap selepas membuat semakan di cawangan bank berkenaan di Jalan Putra Square di sini, 27 Ogos lalu.

“Mangsa mendapati wang dalam akaun bank miliknya berkurangan dan berlaku transaksi pemindahan wang ke akaun bank milik individu tidak dikenali dalam tempoh 2 hingga 10 Ogos lalu.

“Susulan kejadian, mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Kuantan semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.