Pejuang belum putuskan sertai PH

Mukhriz Mahathir
Mukhriz Mahathir
A
A
A

TANJUNG MALIM - Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) akan memutuskan sama ada mereka menyertai blok Pakatan Harapan (PH) atau kekal berkecuali selepas pendaftaran parti itu selesai.

Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, setakat ini mereka kekal sebagai parti bebas yang tidak terikat dengan mana-mana blok parti.

Menurutnya, bagaimanapun parti itu mempunyai hubungan baik dengan parti-parti di dalam PH yang banyak menyokong mereka ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.

"Setakat ini kita mempunyai satu hubungan yang begitu akrab dengan PH. Walaupun sebelum Parti Pejuang Tanah Air ini didaftarkan secara rasmi, kami merupakan Ahli-ahli Parlimen Bebas dan bebas dalam erti kata kita tidak memihak dengan mana-mana pihak iaitu tidak juga dengan PH, jauh sekali lah dengan Perikatan Nasional.

ARTIKEL BERKAITAN: Jika mahu tebus maruah pilih parti Pejuang: Tun M

"Jadi ke depan ini, adakah Pejuang sekiranya didaftarkan nanti akan menyertai PH ataupun tetap berada sebagai kuasa ketiga dalam Parlimen, itu akan kita akan umum setelah didaftarkan nanti, insya-ALLAH," katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Media PRK DUN N58 Slim di Pusat Perniagaan Slim Perdana, Slim River di sini hari ini.

Mukhriz berkata, mereka kini berperanan sebagai kuasa ketiga dalam Parlimen yang menjadi sebagai pengimbang di antara kedua-dua blok kerajaan dan pembangkang.

Menurutnya, setakat ini mereka mesra dengan PH malah parti-parti di dalam PH juga boleh menerima penubuhan Pejuang.

Artikel Berkaitan:

Pada 12 Ogos lalu, Bekas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan Pejuang sebagai nama parti baharu yang ditubuhkannya.