SPR sasar 85 peratus keluar mengundi esok

Abdul Ghani ketika bercakap pada sidang akhbar di Majlis Daerah Tanjung Malim di sini hari ini.
Abdul Ghani ketika bercakap pada sidang akhbar di Majlis Daerah Tanjung Malim di sini hari ini.
A
A
A

TANJUNG MALIM - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengharapkan peratusan keluar mengundi akan meningkat kepada 85 peratus pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim yang berlangsung esok.

Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, jangkaan itu melebihi sasaran awal yang ditetapkan pihaknya sebelum ini iaitu 70 peratus selain mengharapkan keputusan PRK akan diperoleh seawal jam 9 malam.

"Pada PRK sepatutnya peratusan ini naik. Saya berharap ia naik kepada 85 peratus kerana keadaan di sini yang aman dengan tiada kesesakan serta pengundi yang terdiri daripada masyarakat kampung serta Felda.

"Kita juga berharap keputusan dapat keluar awal tertakluk kepada Ketua Tempat Mengundi (KTM). Sebelum jam 9 sudah selesai mudah-mudahan jika tiada kacau ganggu atau bantahan pada waktu itu," katanya pada sidang akhbar di Majlis Daerah Tanjung Malim di sini hari ini.

Abdul Ghani (tengah) mengharapkan peratusan keluar mengundi meningkat kepada 85 peratus.
Abdul Ghani (tengah) mengharapkan peratusan keluar mengundi meningkat kepada 85 peratus.

Menurutnya, sebanyak 12 pusat mengundi dan 54 saluran akan dibuka bagi proses pengundian yang berlangsung dari jam 8 pagi hingga 5.30 petang.

"Seramai 22,749 orang pengundi diharapkan dapat menjalankan tanggungjawab mereka dengan keluar mengundi dengan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. Ambil masa yang sesuai untuk keluar mengundi.

“Pengundi dinasihatkan untuk tidak memakai baju atau peralatan yang mempunyai lambang parti atau calon yang bertanding. KTM berhak menolak mereka yang datang yang memakai pakaian itu atau tidak membawa MyKad," katanya.

Artikel Berkaitan:

Abdul Ghani berkata, seramai 689 petugas SPR yang dilantik akan membantu terutama warga emas dan golongan kurang upaya (OKU) sepanjang proses pengundian berlangsung di setiap saluran.

"Kebiasaannya warga emas di saluran pertama dan kita beri keutamaan kepada warga emas dan OKU memasuki 'line' yang ditetapkan.

“Petugas akan membantu warga emas dengan menyiapkan kerusi roda dan keperluan lain di setiap pusat mengundi," katanya.