X

Kindly register in order to view this article
!

25 hari bersidang, Parlimen lulus 10 rang undang-undang

Bangunan Parlimen
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Hukuman lebih berat bagi pemanduan di bawah pengaruh alkohol dan kebenaran prosiding mahkamah diadakan secara dalam talian antara dua perkara signifikan yang mendapat kelulusan dalam Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen ke-14 persidangan Dewan Rakyat yang menutup tirai semalam.

Masing-masing diluluskan melalui Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 dan melalui tiga rang undang-undang berkaitan mahkamah iaitu Kaedah-Kaedah Mahkamah Rendah (Pindaan) 2020; Mahkamah Rendah (Pindaan) 2020 dan Mahkamah Kehakiman (Pindaan) 2020.

Selain empat rang undang-undang itu, persidangan selama 25 hari itu turut menyaksikan enam lagi rang undang-undang diluluskan termasuk Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2019) 2020 dan Rang Undang-Undang Majlis Keselamatan Negara (Pindaan) 2020 yang membolehkan Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan sesuatu kawasan sebagai kawasan keselamatan.

Turut diluluskan pada persidangan ini ialah tiga rang undang-undang berkaitan pandemik Covid-19 iaitu Rang Undang-Undang Langkah-Langkah Sementara bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020; Rang Undang-Undang Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020 dan Rang Undang-Undang Insolvensi (Pindaan) 2020.

Persidangan pertama di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ini juga secara tidak langsung memperlihatkan kekuatan sokongan terhadap blok PN apabila dua usul yang dibuat menerusi undi belah bahagian memihak kepada mereka.

Undi belah bahagian itu ialah untuk Rang Undang-Undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) Tahun 2020 dan usul Yang Dipertua Dewan Rakyat sebelum ini, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof mengosongkan jawatannya yang dibawa oleh Muhyiddin.

Selain kelulusan rang undang-undang, persidangan kali ini turut menyaksikan dua rang undang-undang yang sepatutnya dibentang untuk bacaan kali kedua ditarik balik.

Rang undang-undang itu ialah Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) berkaitan Perjawatan Perdana Menteri dan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) 2019.

Selain itu, Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) 2020, yang dijadual dibentang untuk bacaan kali kedua pada persidangan kali ini, ditangguh ke persidangan akan datang.

Turut dibawa ke persidangan akan datang ialah Rang Undang-undang Racun (Pindaan) 2019 dan Rang Undang-Undang Koperasi (Pindaan) 2020.

Seiring pertukaran kerajaan, persidangan kali ini turut menyaksikan bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun dipilih menggantikan Mohamad Ariff sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat ke-10.

Persidangan kali ini turut melakar sejarah apabila buat pertama kali melantik seorang wanita sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat iaitu Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Persidangan dewan kali ini ditutup dengan pemilihan Ahli Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Woh sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi menggantikan Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Dr Noraini Ahmad.

Antara isu menarik dibangkitkan Ahli Parlimen pada minggu terakhir bersidang ialah isu Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang didakwa melanggar perintah kuarantin wajib setelah pulang dari Turki, selain isu rundingan terus 101 projek di bawah kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini.

Berlangsung ketika negara masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan, prosedur operasi standard (SOP) tertentu turut diaktifkan di dalam Dewan Rakyat bagi mengekang Covid-19 termasuk pemakaian pelitup muka dan penjarakan satu meter, selain penghadang cermin diletakkan antara tempat duduk Ahli Parlimen.

Mengikut takwim di laman rasmi Parlimen, Dewan Rakyat akan bersidang semula pada 2 November. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!