X

Kindly register in order to view this article
!

Sokong tiada penyingkiran Liga Premier

Pendirian MFL menetapkan tiada penyingkiran bagi pasukan berstatus Liga Premier beri kelegaan kepada majoriti pasukan bertanding. Foto: FB MFL
A
A

PENDIRIAN Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk menetapkan tiada penyingkiran bagi pasukan berstatus Liga Premier memberikan kelegaan kepada majoriti pasukan bertanding selain menyifatkan sebagai satu keputusan yang adil kepada semua pihak.

Antara yang menerima perkhabaran ini dengan penuh positif ialah Presiden Kuching FA, Fazzrudin Abdul Rahman yang bersetuju pendekatan itu dilakukan memandang tiada pasukan dari Liga M3 yang akan dinaikkan ekoran saingan liga itu telah dibatalkan pada musim ini.

Justeru, beliau menganggap situasi itu telah menghilangkan tekanan buat Kuching FA yang kini berada di tangga kedua tercorot Liga Premier tambahan mereka hanya mempunyai baki tujuh perlawanan untuk melakar kebangkitan.

“Kami melihat keputusan ini sebagai satu bonus, bukan sahaja kerana melihat kepada kedudukan kami buat masa sekarang tetapi memandangkan liga hanya dijalankan bagi satu pusingan sahaja.

“Jadi amat sukar buat kami merancang dan merencanakan strategi kita untuk naik ke tangga yang lebih tinggi kerana perlawanan sudah tidak banyak lagi untuk dimainkan.

“Namun, kami tidak mahu bersikap terlalu ambil mudah selepas mengetahui perkara ini dan kami akan cuba memburu kedudukan tangga yang lebih tinggi berbanding pada masa sekarang, “ katanya.

Sementara itu, Setiausaha Eksekutif Kelantan United FC, Wan Mohd Zul Ikman, mengakui melihat keputusan oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL itu sebagai satu kesempatan buat mereka kekal lebih lama dalam saingan Liga Premier.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan mereka tetap memasang impian besar walaupun berstatus pendatang baharu Liga Premier kerana mahu memburu slot ke CIMB Liga Super pada musim depan.

“Bagi pihak Kelantan United melihat perkara itu adalah satu berita baik buat kami terus kekal di Liga Premier.

“Cuma kami tetap cuba buru tempat ke CIMB Liga Super berdasarkan kedudukan kami sekarang dan apa diumumkan oleh MFL adalah satu bonus kepada kami.

“Saya juga melihat sebagai sesuatu yang adil kepada semua pasukan untuk bersaing kerana selepas berehat terlalu lama iaitu lima bulan, sukar buat mana-mana pasukan mendapatkan kembali momentum ditambah hanya berbaki tujuh perlawanan sahaja, ” katanya.

MFL sebelum ini dalam satu kenyataan media mengumumkan tiada penyingkiran bagi saingan Liga Premier susulan Liga Bolasepak Amatur (AFL)

telah membatalkan semua saingan Liga M3 pada 8 Jun akibat penularan pandemik Covid-19.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!