Calon kita tak akan jual diri, lompat parti: Tun M

Dr Mahathir bersama calon Bebas mewakili Pejuang, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi pada Program Sepetang di Pusat Bandar Felda Gunung Besout 3, hari ini.
Dr Mahathir bersama calon Bebas mewakili Pejuang, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi pada Program Sepetang di Pusat Bandar Felda Gunung Besout 3, hari ini.
A
A
A

TANJUNG MALIM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memberi jaminan calon Bebas yang mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim ini tidak akan menjual diri dan melompat parti.

Beliau berkata, pemilihan Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38, sebagai calon pertama parti yang baharu ditubuhkan itu dapat menunaikan tanggungjawab sebagai pemimpin dengan baik dan bukan melibatkan diri dalam politik disebabkan wang.

Memberi contoh kejadian yang berlaku di Sabah katanya, 13 ahli dalam kerajaan itu telah bertindak keluar parti dan menyebabkan kejatuhan kerajaan di bawah Parti Warisan Sabah (Warisan).

"Saya yakin Amir tidak akan menjual dirinya.

"Dia adalah calon yang baik, bukan seperti orang sebelah sana yang melompat seperti katak apabila ditawarkan wang," katanya ketika berucap pada Program Sepetang di Pusat Bandar Felda Gunung Besout 3 di sini hari ini.

Dr Mahathir yang turun membantu kempen turut memberi peringatan kepada anak jati Perak itu mengingati asas parti Pejuang yang ditubuhkan untuk menghapuskan politik wang.

"Janji tau, bukan kerana duit," katanya sambil menepuk mesra bahu Amir Khusyairi dan dibalas dengan anggukan.

Beliau mengatakan Amir Khusyairi dipilih sebagai calon untuk membantu menyelesaikan masalah rakyat di kawasan Slim ini terutama melibatkan peneroka Felda.

Artikel Berkaitan:

"Saya telah banyak membaca mengenai masalah yang dihadapi peneroka Felda. Ada yang mempunyai hutang hingga RM100,000 dan tidak dapat membayar. Ada daripada mereka dijanjikan pembayaran tetapi tidak pernah berjaya.

"Jadi ini semua tanggungjawab, anda tahu?" kata Dr Mahathir sambil menoleh ke arah Amir Khusyairi.

"Dia ikhlas di depan semua orang. Sekiranya dia tidak buat, saya akan pergi godam dia," katanya lagi.