X

Kindly register in order to view this article
!

Kem boling 'rehat' hingga hujung tahun

Syaidatul Afifah Badrul Hamidi antara pemain boling negara.
A
A

Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) memutuskan untuk membatalkan kejohanan peringkat kebangsaan dan antara negeri sekali gus menyebabkan atlet boling negara tidak menyertai sebarang kejohanan besar sehingga 2021.

Perkara itu disahkan Presiden MTBC Datuk Dr PS Nathan kerana mengambil kira bajet serta keadaan penonton susulan pandemik Covid-19.

“Pertamanya, ia agak sukar untuk mendapatkan penaja, selain agak sukar menarik minat penyertaan pemain daripada 14 negeri khususnya daripada Sabah dan Sarawak.

“Dari segi penonton pula, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memutuskan agar tiada penonton sama ada ketika kejohanan atau pun latihan,” katanya selepas mesyuarat jawatankuasa kerja bersama Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN).

Kejohanan lain yang turut terjejas berikutan Covid-19 adalah Kejohanan Asia di Hong Kong pada 4 hingga 14 Julai, Piala Dunia Boling AMF di Kuwait (November) dan Terbuka Malaysia (22 hingga 28 November).

Bagaimanapun, Nathan berkata pemain boling negara sentiasa dipantau dan menjalani latihan dalam tempoh empat bulan ini bagi mengekalkan kecergasan sebelum menghadapi jadual padat tahun depan, dengan tiga kejohanan besar dijadualkan berlangsung pada 2021.

Musim baharu bermula dengan Kejohanan Asia pada 15 hingga 25 Januari diikuti Sukan Dalam Dewan dan Seni Mempertahankan Diri Asia di Thailand pada 21 hingga 30 Mei dan Kejohanan Belia Dunia di Helsingborg, Sweden pada 26 Jun hingga 4 Julai.

“Bagi memastikan pemain sentiasa bersedia, kita menganjurkan kejohanan dan latihan kejohanan secara dalaman. Pemain dibahagikan kepada dua kumpulan bagi mewujudkan suasana pertandingan. Kami sentiasa memantau perkembangan mereka menerusi kejohanan dalaman itu.

“Mereka yang tidak menunjukkan prestasi yang baik, tidak diserap ke skuad elit tapi dimasukkan dalam pasukan pelapis. Peruntukan skuad pelapis adalah rendah berbanding skuad senior. Dengan ini, menjadikan semua pemain bersaing bagi merebut tempat mereka,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Nathan mengakui pusat boling di Malaysia terjejas susulan Covid-19 tapi menunjukkan tanda pemulihan selepas pemain dan orang ramai mula kembali bermain boling sebagai aktiviti rekreasi.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!