Kontroversi kesihatan Kim Jong-un

Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un pada mesyuarat dengan anggota-anggota Parti Pekerja di Pyonyang pada Selasa lalu. - Foto AFP/KCNA
Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un pada mesyuarat dengan anggota-anggota Parti Pekerja di Pyonyang pada Selasa lalu. - Foto AFP/KCNA
A
A
A

BERITA pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un yang berkuasa sejak tahun 2011 dan dikatakan berada dalam keadaan koma akhirnya menerima reaksi daripada pentadbiran negara itu.

Bagaimanapun, portal-portal berita Barat pada 23 Ogos lalu melaporkan Jong-un sedang berada dalam keadaan koma dengan memetik kenyataan daripada Chang Song-min yang merupakan bekas setiausaha politik kepada mantan Presiden Korea Selatan, mendiang Kim Dae-jung.

Berita itu pada asalnya dikeluarkan oleh akhbar The Korea Herald pada 21 Ogos lalu dengan Song-min yang membuat dakwaan bahawa dia mendapat maklumat tersebut dari China dengan mendakwa adik perempuan Jong-un iaitu Kim Yo-jong, 33, dilatih untuk menggantikannya.

Bagaimanapun, ketika itu, dia juga membuat kenyataan bahawa nyawa pemimpin kuasa nuklear itu belum lagi berakhir dan mendakwa semua gambar-gambar yang menunjukkan kemunculan pemimpin itu di Korea Utara sebenarnya adalah palsu.

Ia bukannya pertama kali berlaku ke atas pemimpin muda itu yang menggantikan bapanya, Kim Jong-il.

Pada bulan April lalu, Jong-un, 36, yang mendapat pendidikan di negara Barat dan Universiti Kim Il-sung itu dispekulasikan sudah meninggal dunia pada April lalu kerana pembedahan jantung.

Sebelum itu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang mempunyai agensi-agensi perisikan yang cekap di dunia enggan mengesahkan atau menafikan komen tentang keadaan kesihatan pemimpin itu yang sedang sakit.

Artikel Berkaitan:

Kim Yo-Jong merupakan adik perempuan pemimpin Korea utara, Kim Jong-un. - Foto AFP
Kim Yo-Jong merupakan adik perempuan pemimpin Korea utara, Kim Jong-un. - Foto AFP

Sebaliknya, media-media Korea Utara melaporkan bahawa Jong-un berada dalam keadaan baik.

Tumpuan tentang keadaan kesihatan Jong-un itu berlaku disebabkan dia didakwa tidak muncul di khalayak awam selama hampir tiga minggu di negaranya pada bulan April lalu.

Kini, khabar angin mengenai keadaan kesihatan pemimpin tersebut berlegar lagi sehingga mengakibatkan badan penyiaran Korea Utara milik kerajaan negara itu, The Korean Central News Agency (KCNA) menyiarkan gambar-gambar yang menunjukkan diktator itu mempengerusikan satu mesyuarat yang dihadiri anggota-anggota biro politik termasuk jawatankuasa kuasa pusat Parti Pekerja.

Imej itu disiarkan beberapa hari selepas tersebar dakwaan bahawa dia berada dalam keadaan koma.

Menurut portal berita KCA yang menyiarkan artikel Pyongyang Times pada 26 Ogos lalu, Jong-un juga menggesa supaya usaha bagi memerangi pandemik koronavirus (Covid-19) dan menghalang kerosakan akibat kedatangan kuat taufan Bavi dilakukan.

Mesyuarat itu didakwa diadakan di bangunan pejabat Jawatankuasa Pusat Parti Pekerja di Pyongyang pada Selasa lalu.

Gambar itu juga disiarkan dalam akhbar Rodong Sinmun yang menunjukkan dia memakai pakaian putih dan menghisap sebatang rokok.

Sebelum ini, dia didakwa tidak menghadirkan diri dalam sambutan ulang tahun kelahiran mendiang datuknya iaitu pengasas Korea Utara, Kim Il-sung sekali gus menyebabkan tahap kesihatannya dipersoalkan.

Bagaimanapun, satu lawatannya yang tidak dinyatakan tarikh dengan tepat ke lokasi pembinaan Hospital Besar Pyongyang dan Ladang Ayam Kwangchon tetapi dilaporkan berlaku pada bulan Jun lalu telah disiarkan menerusi video.

Justeru, portal berita NK News membuat perbandingan video-video pemimpin Korea Utara itu dengan imej satelit komersial yang menunjukkan lawatan Jong-un itu berlaku beberapa hari sebelum media kerajaan bertindak menyiarkan laporan tersebut.

Inilah gambar yang dikeluarkan oleh The Korean Central News Agency (KCNA) dan menunjukkan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un (tengah) membincangkan masalah Covid-19, ekonomi dan Taufan Bavi bersama anggota-anggota Parti Pekerja pada Selasa lalu. - Foto AFP /KCNA
Inilah gambar yang dikeluarkan oleh The Korean Central News Agency (KCNA) dan menunjukkan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un (tengah) membincangkan masalah Covid-19, ekonomi dan Taufan Bavi bersama anggota-anggota Parti Pekerja pada Selasa lalu. - Foto AFP /KCNA

Ia sekali gus mempersoalkan kenyataan Song-min yang mendakwa gambar-gambar pemimpin itu adalah palsu sebelum ini.

Khabar angin tentang kesihatannya itu menarik perhatian ramai penganalisis antarabangsa kerana Korea Utara mempunyai program senjata nuklear sehingga satu pertemuan diadakan antara Trump dengan Jong-un di Singapura pada tahun 2018.

Dalam pertemuan itu, satu perjanjian bersama ditandatangani oleh kedua-dua pemimpin yang berjanji untuk mewujudkan kestabilan di Semenanjung Korea selain berusaha ke arah memastikan 'zon' bebas nuklear.

Sebagai negara yang memiliki program senjata nuklear, tahap kesihatan Jong-un amat penting kerana dia merupakan seorang pemimpin yang mampu mencorakkan politik di Semananjung Korea sama ada Korea Utara akan berkonfrontasi dengan AS atau menjalinkan hubungan baik dengan dengan negara itu.

Ini adalah kerana pemimpin itu didakwa pernah memberi amaran supaya jangan melupakan keganasan imperialisme AS semasa Perang Korea berlaku antara tahun 1950 hingga 1952. - Agensi