X

Kindly register in order to view this article
!

Rantau Panjang berubah wajah?

Dua kanak-kanak yang mengunjungi zon bebas cukai Rantau Panjang tidak melepaskan peluang untuk melihat suasana baharu di pekan tersebut.
A
A

RANTAU PANJANG - Zon bebas cukai Rantau Panjang yang sebelum ini suram bertukar ceria apabila peniaga di kawasan berkenaan mengambil inisiatif membelanjakan wang sendiri bertujuan menarik lebih ramai pengunjung ke zon bebas cukai itu.

Mereka menggantungkan payung pelbagai warna di hadapan pintu masuk Bazar Siti Fatimah selain mengecat kerusi di yang menjadi tempat rehat pelanggan apabila berkunjung ke Rantau Panjang.

Pengerusi Persatuan Perniagaan Melayu Rantau Panjang, Ramli Abdullah berkata, inisiatif itu bertujuan merancakkan lagi aktiviti urus niaga di kawasan berkenaan.

"Perubahan yang dilakukan ini hasil sumbangan daripada peniaga untuk memberi nafas baharu dan menarik lebih ramai pengunjung ke Rantau Panjang," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, persatuan itu merancang untuk meningkatkan lagi keindahan dan mengubah wajah Rantau Panjang yang memang terkenal dengan barangan murah dan berkualiti.

Katanya, zon bebas cukai Rantau Panjang merupakan antara salah satu 'syurga' membeli-belah terkenal di negeri ini dan perlu dipromosikan dengan lebih banyak sebagai destinasi pelancongan.

Tinjauan Sinar Harian mendapati orang ramai tidak melepaskan peluang untuk merakam kenangan di kawasan berkenaan dengan mengambil gambar serta berswafoto.

Sementara itu, seorang pengunjung Mohd Nurul Hakim Ismai, 36, berkata, usaha yang dilakukan oleh peniaga di kawasan berkenaan wajar dipuji kerana secara tidak langsung mampu menarik lebih ramai orang untuk berkunjung ke Rantau Panjang.

"Sambil membeli belah, kami juga dapat 'mencuci' mata dengan pemandangan yang menarik di sekitar kawasan ini," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!