Makna merdeka ke-63 tahun

A
A
A

Menjelang sambutan kemerdekaan ke-63, kali ini tema Malaysia Prihatin dipilih. Sesuai dengan cabaran pandemik Covid-19, tema ini dianggap relevan untuk menunjukkan keprihatinan kerajaan kepada rakyat.

Memaknai erti kemerdekaan adalah penting. Usia 63 tahun sewajarnya mematangkan kita betapa kemerdekaan juga membawa pertanggungjawapan yang besar. Negara yang merdeka membawa implikasi bahawa manusia yang dijajah perlu suara dan pembelaan daripada mereka yang sudah merdeka.

Oleh sebab itu, setiap warga bertanggungjawab memelihara keutuhan negara ini sebagai negara yang menentang segala bentuk penjajahan, eksploitasi, diskriminasi serta pelanggaran hak manusia. Ketika tanah air ini dijajah mulai 1511 oleh Portugis sehingga merdeka daripada British pada tahun 1957, pengertian merdeka dalam kalangan golongan tua sangat bermakna. Ketika itu dunia berada dalam era penjajahan.

Merdeka dari perspektif mereka yang melalui zaman penjajahan jauh menghayati makna kebebasan dalam erti kata sebenar. Pengertian merdeka dari sudut minda, budaya, bahasa, ekonomi, politik, keselamatan, pertahanan memerlukan kefahaman yang kritikal.

Golongan tua melihat dan menjalani sendiri erti perhambaan di bawah penjajah dari pelbagai sudut. Sebab itu kemerdekaan amat mahal harganya buat mereka.

Lantaran itu generasi muda perlu dididik agar memahami makna kemerdekaan yang hakiki. Minda, sikap dan pandangan hidup merdeka hanya dapat ditelusuri bila erti penjajahan dapat difahami. Hidup terjajah sangat sukar dimengertikan tatkala ada golongan muda yang sangat terpukau dengan dunia barat dan tamadun global.

Tema Malaysia Prihatin dikaitkan dengan kejayaan Malaysia sebagai antara negara yang terbaik berjaya menangani merebaknya wabak Covid-19. Kes yang tercatat di Malaysia bermula Mac hingga Ogos dapat dikekang dengan berkesan. Kes tidak melebihi 10,000 jangkitan sementara yang pulih hampir 90 peratus.

Hari Kemerdekaan kali ini mengangkat isu Covid-19 yang memberi kesan yang berat kepada kehidupan rakyat. Ini wajar.

Artikel Berkaitan:

Akan tetapi makna prihatin itu sendiri sangat luas rangkumannya. Prihatin yang juga bermakna mengambil berat perlu disemai dalam kalangan seluruh rakyat daripada pemimpin di atas sehingga rakyat di bawah. Sikap prihatin perlu diterjemahkan dalam pelbagai bidang kehidupan.

Dalam negara ini pelbagai golongan terpinggir perlu diberi keprihatinan. Prihatin kepada nasib mereka yang mengharap ihsan dan bantuan kemanusiaan harus menjadi sifat rakyat Malaysia yang terserlah.

Dunia yang kini bergolak dengan pelbagai konflik dan bencana alam serta krisis kesihatan akibat pandemik kini sangat kritikal.

Malaysia Prihatin perlu menyerlahkan rasa simpati dan keinsanan yang tinggi untuk menyantuni keperluan asasi untuk pelarian yang tidak punya pilihan.

Sungguhpun negara tidak mampu menampung sedemikian ramai pelarian namun perundingan dengan agensi dunia untuk saling membantu perlu dijalinkan.

Tema kemerdekaan kali ini seharusnya dipupuk dalam kalangan rakyat. Malaysia tidak boleh hidup dalam keadaan terputus daripada apa yang berlaku di dunia. Mahu tidak mahu apa yang berlaku di peringkat antarabangsa pasti akan terkesan kepada negara.

Sebab itu keprihatinan Malaysia kepada mereka yang tertindas, diusir, dinafikan hak dan mereka yang mengharungi nasib yang parah sebagai pelarian perlu diterjemahkan dalam dasar dan pendirian negara.

Ketika kita menyambut kemerdekaan buat kali ke-63, kita tidak harus terlepas tanggungjawab kita menghulur simpati kita kepada sebahagian warga dunia yang masih terbelenggu dalam keadaan terjajah dan tertindas.

* Mohd Azmi Abd Hamid ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu