'Barisan MPT Bersatu baharu mantap, mampu kukuhkan parti'

Rosol (tiga dari kanan) membuat lawatan ketika Kempen Beli Barangan Malaysia@The Store 2020 yang berlangsung di SB Mall, Bukit Rahman Putra hari ini. FOTO SINAR HARIAN /ASRIL ASWANDI SHUKOR.
Rosol (tiga dari kanan) membuat lawatan ketika Kempen Beli Barangan Malaysia@The Store 2020 yang berlangsung di SB Mall, Bukit Rahman Putra hari ini. FOTO SINAR HARIAN /ASRIL ASWANDI SHUKOR.
A
A
A

SUNGAI BULOH - Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang baharu merupakan barisan kepimpinan terbaik parti.

Ahli MPT Bersatu, Datuk Rosol Wahid berkata, beliau melihat MPT baharu ini merupakan barisan kepemimpinan mantap yang akan memberi sokongan dan kesepaduan di belakang Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden Bersatu untuk mengurus parti dengan lebih baik.

"Jadi tak kiralah mereka yang dilantik dalam barisan baharu ini berasal sama ada dari UMNO, Pas atau DAP, kalau mereka sudah dipilih sebagai MPT Bersatu maka mereka adalah ahli Bersatu.

"Apa yang penting barisan kepimpinan MPT baharu Bersatu ini boleh membawa pembaharuan kepada parti.

"Sebagai contoh kita ada, Datuk Seri Hamzah Zainuddin (setiausaha Agung Bersatu), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, Datuk Shabudin Yahaya yang memang berpengalaman dan sudah tahu sepak terajang dunia politik. Mereka boleh bantu untuk kukuhkan parti," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Kempen Beli Barangan Malaysia@The Store 2020 di Market Place by The Store, SB Mall di sini hari ini.

Semalam, bekas Ahli MPT, Datuk A Kadir Jasin menerusi Facebook mendakwa barisan MPT Bersatu bagi tempoh 2019-2022 kelihatan 'lebih UMNO' jika dibandingkan sewaktu parti itu mula ditubuhkan dahulu.

Beliau berkata, ia jelas ketara melalui susunan atau kompilasi MPT baharu itu apabila ramai calon daripada kalangan pejuang asal tewas dan digantikan oleh bekas ahli UMNO yang melompat parti selepas UMNO kalah dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 2018.

Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata, beliau tidak melihat soal 'lebih UMNO' itu wajar dibangkitkan.

Artikel Berkaitan:

Rosol (tengah) membuat gimik pelancaran Kempen Beli Barangan Malaysia@The Store 2020 yang berlangsung di SB Mall, Bukit Rahman Putra hari ini. FOTO SINAR HARIAN /ASRIL ASWANDI SHUKOR.
Rosol (tengah) membuat gimik pelancaran Kempen Beli Barangan Malaysia@The Store 2020 yang berlangsung di SB Mall, Bukit Rahman Putra hari ini. FOTO SINAR HARIAN /ASRIL ASWANDI SHUKOR.

"Kalau nak kira UMNO, Kadir Jasin dulu pun UMNO juga, 'pi mai, pi mai tang tu juga'," katanya.

Terdahulu, pada Pemilihan Bersatu baru-baru ini menyaksikan Muhyiddin kekal sebagai Presiden Bersatu selepas menang tanpa bertanding dalam pemilihan penggal kali ini.

Turut menang tanpa bertanding Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bagi jawatan Timbalan Presiden.

Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof atau lebih mesra dengan panggilan Pak Wan tewas bagi merebut jawatan Naib Presiden yang dimenangi oleh Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Md Jidin, Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Exco Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen.

Selain itu, jawatan bagi Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Tetap dipegang oleh Senator Datuk Mohd Suhaimi Abdullah dan Datuk Hashim Suboh manakala 20 Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) turut dimuktamadkan pada pemilihan tersebut.

Antara yang dipilih ialah Rosol dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Selain itu, Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Eddin Syazlee Shith dan Setiausaha Politik Muhyiddin, Azlinda Abdul Latif juga dipilih bagi jawatan MPT.