8 lelaki didenda RM1,000 kes gaduh di Dataran Merdeka

Aksi pergaduhan di Dataran Merdeka pada Ahad lalu, tular di media sosial.
Aksi pergaduhan di Dataran Merdeka pada Ahad lalu, tular di media sosial.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai lapan lelaki berusia 18 hingga 26 tahun yang bergaduh di Dataran Merdeka Ahad lalu sehingga tular di media sosial didenda masing-masing sebanyak RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Mereka ialah Mohamad Syahrul Azrai Mas Ringo,18, Muhammad Azrul Effendy Azmi, 19, Muhammad Razif Razali, 21, Muhammad Dashrin Ashraff Ishak, 21, Muhammad Taufiq Zakaria, 22, Muhammad Azizul Izwan Mohd Saian, 22, Nasrin Superatekjo, 26, dan Mohd Sharuddin Muhamad Sali, 26.

Mahkamah turut memerintahkan mereka menjalani hukuman penjara selama sebulan jika jika gagal membayar denda.

Mereka dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Fardiana Haryanti Ahmad Razali.

Turut didakwa bersama mereka ialah tiga pelajar Tingkatan Lima, namun mahkamah menetapkan 28 September depan untuk menjatuhkan hukuman sementara menunggu laporan akhlak.

Mengikut pertuduhan, kesemua remaja dari dua kumpulan itu didakwa melakukan gaduh gempar di tempat awam.

Kesalahan didakwa dilakukan di Dataran Merdeka, Jalan Raja di sini, pada jam 1.29 pagi, 23 Ogos lalu.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 159 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 160 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada mereka.

"Kejadian berlaku di Dataran Merdeka, yang mana ia merupakan lokasi menyemai semangat patriotik tetapi kesemua tertuduh menjadikannya sebagai kawasan pergaduhan,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN Perselisihan faham punca gaduh

Bagaimanapun, peguam, Mohammad Zaidi Othman yang mewakili Mohamad Syahrul Nasrin, Mohd Sharuddin, Mohd Azrul, Muhammad Dashrin, Muhammad Azizul dan tiga pelajar itu, memohon mahkamah mengenakan hukuman yang minima memandangkan mereka berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama selain sudah meminta maaf sesama sendiri.

Sementara lagi tertuduh iaitu Mohammad Azrul, Muhammad Taufiq dan Muhammad Razif tidak diwakili peguam turut memohon agar hukuman ringan atas alasan yang sama.

Sebelum menjatuhi hukuman, Fardiana Haryanti bertanya kepada tertuduh, sebab mereka melakukan pergaduhan tersebut.

Nasrin: Akibat salah faham, puan.

Fardiana Haryanti: Jadi, kenapa sampai jadi bergaduh?

Nasrin: Mula dari seorang wanita.

Fardiana Haryanti: Sebab perempuan?

Nasrin: Asalnya begitu, tetapi kami gaduh sebab adik saya dipukul di sebuah hotel.

Fardiana Haryanti: Bincang dengan helmet? Berbaloikah sampaikan kes ini menyebabkan kamu memiliki rekod jenayah?

Kesemua tertuduh tunduk dan menjawab, tidak berbaloi.

Terdahulu, video berdurasi 14 saat menunjukkan beberapa individu bergaduh dengan bersenjatakan topi keledar di Dataran Merdeka, tular di media sosial sejak Ahad lalu.

Video berdurasi 14 saat menunjukkan beberapa individu bergaduh dengan bersenjatakan topi keledar di Dataran Merdeka, tular di media sosial sejak Ahad lalu.