Berlatih satu bumbung beri lebih impak positif

Muhammad Haiqal
Muhammad Haiqal
A
A
A

PERANCANGAN Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) untuk mengumpulkan semua pelari pecut di bawah satu bumbung dapat membantu dalam pembentukan kuartet 4x100 meter (m) yang lebih mantap.

Raja Pecut Asia Tenggara 2019, Muhammad Haiqal Hanafi berkata, cadangan untuk meletakkan kesemua atlet pecut di bawah kendalian Pengarah Teknikal KOM, Dwayne Miller di Bukit Jalil dapat meningkatkan persefahaman dan keserasian dalam kalangan mereka.

“Saya rasa cadangan untuk berlatih di Bukit Jalil agak baik untuk merapatkan hubungan sesama kami kerana acara 4x100m perlu ada keserasian. Jika keserasian itu tidak ada, terdapat sedikit kekurangan waktu menukar baton dalam kejohanan sebenar.

“Bagi program 4x100m yang bakal dilaksanakan Miller dengan meletakkan Olimpik sebagai sasaran, ia adalah baik untuk skuad negara kerana sukar untuk layak secara individu. Bagaimanapun, keputusan sama ada saya berlatih di sini atau tidak, perlu perbincangan lanjut dan persetujuan semua pihak,” kata atlet berusia 21 tahun itu.

MSN dan KOM dalam proses mengumpulkan semua atlet pecut di bawah satu bumbung di Bukit Jalil untuk berlatih di bawah bimbingan Miller bagi memberi fokus terhadap usaha memperkukuhkan kuartet 4x100m negara.

Keputusan itu menyaksikan Muhammad Haiqal dan jaguh pecut Asia Tenggara 2017 Khairul Hafiz Jantan terpaksa ‘berpisah’ dengan jurulatih Mohd Poad Md Kassim yang bertugas di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Johor.

Sementara itu, Muhammad Haiqal mengakui prestasinya agak merosot akibat kekurangan latihan susulan perintah kawalan pergerakan (PKP) dan tumpuan banyak diberikan kepada melengkapkan pelajarannya.

“Di Negeri Sembilan, saya tidak dapat melakukan latihan di trek, jadi bila dah mula latihan trek, rasa macam hilang ketahanan. Saya perlu meningkatkan semula ketahanan, teknik, kelajuan dan kekuatan saya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Haiqal yang mempunyai rekod peribadi terbaik 10.35 saat (s) dicatat ketika meraih emas Sukan SEA di New Clark City, Filipina Disember tahun lepas, menamakan jaguh pecut Indonesia, Lalu Muhammad Zohri dengan larian sepantas 10.03s dan Eric Cray dari Filipina sebagai pesaing utama pingat acara 100m di Sukan SEA Hanoi, tahun depan.