Azhar nasihat ahli Parlimen debat secara harmoni

Azhar Azizan Harun
Azhar Azizan Harun
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persidangan Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen Keempat Belas (2020) kali ini, ditutup dengan cebisan kata-kata nasihat dan teguran ‘manja’ Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun, kepada kedua-dua blok Ahli Parlimen kerajaan mahupun pembangkang untuk menghormati Peraturan Mesyuarat ketika bersidang.

Azhar sebelum menangguhkan persidangan itu hari ini, mengajak semua Ahli Parlimen untuk mengadakan persidangan dewan secara harmoni dan mempamerkan kualiti perbahasan yang baik mengenai isu sesuatu usul itu.

“Peraturan 23 (1)(c) itu selalu sangat saya dengar tapi saya bagi peluang, sebab saya pun budak baru, kalau saya ketatkan sangat maka banyak akan mengadu...tapi itu peraturan mesyuarat iaitu peraturan untuk kita semua.

“(Peraturan 23 (1)(j)) banyak kali juga saya dengar perkara yang lain mengenai sifat-sifat yang bukan sifat dalam jawatan dikeluarkan dan dibahaskan. Bukan sekali, tapi banyak kali dan bila ditegur, ditarik balik tapi dibuat semula macam sengaja,” katanya selepas penggulungan usul menggantikan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara.

Di bawah Peraturan Mesyuarat Peraturan 23(1)(c) menetapkan, sesuatu pertanyaan itu tidak boleh mengandungi apa-apa hujah sangkaan, fikiran, tohmah, puji atau keji, atau mengandungi kalimah-kalimah mengelirukan, menyindir atau menyakitkan hati, atau mengenai apa-apa perkara dangkal atau meminta penerangan mengenai perkara remeh.

Peraturan 23(1)(j) menyatakan, sesuatu pertanyaan itu tidak boleh dikeluarkan berkenaan dengan sifat atau kelakuan siapa-siapa, melainkan sifat dan kelakuannya dalam menjalankan urusan-urusan jawatannya atau urusan-urusan pekerjaan berkhidmat kepada negeri.

Belum sempat selesai memberi petua nasihat, beberapa Ahli Parlimen bangun mencelah termasuk Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) yang secara berseloroh, berkata: “Itu skil kami.”

Azhar kemudiannya menjawab: “Kalau saya hukum, itu pun skil juga.”

Artikel Berkaitan:

Antara Ahli Parlimen lain yang turut bangun mencelah ucapan beliau ialah Datuk Seri Shahidan Kassim (BN-Arau), RSN Rayer (PH-Jelutong) dan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Lembah Pantai).

“Kedua-dua pihak (kerajaan dan pembangkang) menuduh antara satu sama lain siapa yang bersalah. Siapa makan cili dialah terasa pedas. Saya ingin menasihatkan kalau boleh bukan sahaja membaca Peraturan Mesyuarat, malah menghayatinya,” kata Azhar.

Sementara itu, dalam ucapannya beliau turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Kebangsaan pada 31 Ogos dan Hari Malaysia, yang bakal menjelang pada 16 September ini.

Persidangan ditangguhkan ke tarikh yang belum ditetapkan.- Bernama