Saya calon Bebas unik, kata Amir Khusyairi

AMIR KHUSYAIRI
AMIR KHUSYAIRI
A
A
A

TANJUNG MALIM - Calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi mengakui dirinya merupakan calon Bebas yang unik berbanding calon-calon lain yang pernah bertanding pada pilihan raya sebelum ini.

Menurutnya, keunikan itu dapat dilihat dari sudut sokongan apabila mendapat bantuan khusus daripada parti-parti di dalam Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata, pencalonannya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) juga merupakan satu sejarah buat Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

"Sebenarnya, kalau parti Pejuang itu ada, saya calon pertama daripada Pejuang, tetapi disebabkan parti belum didaftarkan ketika itu. Bila bercakap cabaran sebagai calon Bebas saya cuba meletakkan diri saya sebagai calon Bebas yang unik berbanding calon bebas lain.

"Alhamdulillah saya dibantu oleh seluruh jentera di pelusuk tanah air yang berminat menyertai Pejuang dan dalam masa sama saya turut mendapat sokongan wakil-wakil rakyat daripada PH," katanya dalam satu temubual khas bersama Sinar Harian.

Beliau berkata, bantuan yang diberikan itu memudahkan perjalanan kempen dan sokongan tersebut tidak pernah diperoleh mana-mana calon Bebas sebelum ini.

Mengenai kempen hari-hari terakhir, Amir Khusyairi menjelaskan fokus diberikan untuk memberitahu semua pengundi ikrar jika memenangi kerusi tersebut.

Katanya, tumpuan juga akan diberikan kepada golongan wanita dan anak muda di DUN Slim bagi membangunkan keupayaan kedua-dua golongan tersebut dengan kerjasama anak rantau yang berkhidmat di negeri lain.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Amir Khusyairi turut menyasarkan untuk bertemu sekurang-kurangnya 13,000 daripada 23,093 pengundi di DUN Slim menjelang Hari Pengundian pada esok.

Dalam perkembangan lain, Amir Khusyairi menyedari tindakan bertanding sebagai calon bebas pada PRK DUN Slim sebagai satu pengorbanan yang sangat besar.

Namun katanya, beliau tidak mengharapkan sebarang jawatan di dalam parti mahupun balas di atas pengorbanan yang telah dibuat untuk Pejuang.

"Kalau ditawarkan jawatan saya akan ambil sebagai amanah tetapi jika tidak ditawarkan sebarang jawatan saya reda sebab dari dulu daripada mula arwah mak ayah nasihat supaya kita jangan minta jawatan, kalau orang bagi kita lihat dulu mampu atau tidak baru ambil kita buat sedaya upaya kita.

"Selepas ini jika pimpinan nak tawarkan jawatan apa-apa kepada saya, kalau benar betul saya boleh lakukan saya terima, tapi kalau nak minta bukan cara saya," katanya.