Lesap RM90,000 diperdaya Macau Scam

Noorzainy
Noorzainy
A
A
A

KEPALA BATAS - Seorang pembantu am rendah di sebuah syarikat mengalami kerugian RM90,000 selepas terpedaya dengan sindiket Macau Scam semalam.

Mangsa berusia 72 tahun itu dikatakan menerima panggilan telefon daripada individu yang mengaku anggota polis berpangkat sarjan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan dan memaklumkan namanya terlibat dengan kes pengubahan wang haram.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, disebabkan takut walaupun tidak terlibat dengan kes terbabit mangsa telah mengikut segala arahan daripada individu berkenaan dengan memberikan nombor kad debit dan beberapa maklumat lain.

"Tanpa menyedari tipu muslihat lelaki terbabit, mangsa telah berikan beberapa maklumat bank termasuk lima kali nombor pengesahan transaksi (TAC) kepada suspek.

"Mangsa hanya menyedari telah ditipu apabila menyemak baki dalam akaun banknya berkurangan dan kerugian sebanyak RM 90,000," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Noorzainy berkata, selepas menyedari dia terperangkap dengan penipuan berkenaan mangsa kemudiannya tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Katanya, siasatan lanjut masih dilakukan dan pihaknya menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan muslihat serta tipu helah sindiket.

"Jangan sesekali mudah panik dan mengikut arahan yang diberikan oleh pemanggil yang tidak dikenali, sebaliknya hubungi pihak polis atau organisasi yang terlibat untuk sebarang pengesahan.

Artikel Berkaitan:

“Kes berkenaan kini dalam siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.