Taktik sorok pil kuda dalam kereta terbongkar

Shafien (tengah) menunjukkan 24,000 pil kuda yang dirampas bernilai RM240,000 dari lima suspek termasuk pasangan suami isteri.
Shafien (tengah) menunjukkan 24,000 pil kuda yang dirampas bernilai RM240,000 dari lima suspek termasuk pasangan suami isteri.
A
A
A

KOTA BHARU - Taktik dua sindiket pengedaran dadah yang menggunakan modus operandi serupa dengan menyorokkan bungkusan mengandungi 12,000 biji pil kuda bawah kerusi tempat duduk pemandu dan menjalankan urus niaga dari dalam kereta di dua lokasi di tepi jalan di Machang, terbongkar selepas ditahan kelmarin.

Ketua Polis negeri, Deputi Komisioner Shafien Mamat berkata, sebuah kereta jenis Perodua Kelisa dinaiki dua lelaki ditahan pada jam 7 malam di hadapan sebuah premis Jalan Padang manakala sebuah kereta jenis Perodua MyVi dinaiki pasangan suami isteri pula diserbu di Jalan Taman Sri Selising, Kampung Bukit Tiu selang sejam 30 minit kemudian.

“Pemeriksaan dalam setiap kenderaan mereka yang berusia 25 sehingga 35 tahun itu menjumpai bungkusan berisi pil kuda bawah tempat duduk pemandu yang keseluruhannya berjumlah 24,000 biji dianggarkan bernilai RM240,000.

“Pemeriksaan turut menemui wang tunai RM5,000 dalam kereta jenis Perodua Kelisa dipercayai hasil jual beli dadah dan susulan itu polis juga menyerbu sebuah rumah di Kampung Padang Selising serta menahan seorang lagi suspek berusia 25 tahun,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini hari ini.

Beliau berkata, kesemua suspek aktif menjalankan kegiatan pengedaran dadah antara tempoh tiga hingga lima bulan lalu di sekitar daerah Machang.

“Urin empat suspek lelaki didapati positif dadah jenis metamphetamine dan siasatan mendapati mereka dari dua rangkaian sindiket yang berbeza.

“Mereka juga mempunyai rekod lampau dadah antara satu hingga tiga. Kesemua ditahan reman tujuh hari bermula semalam sehingga Selasa ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyampaikan Surat Penghargaan Ketua Polis Kelantan kepada 11 terdiri pegawai dan anggota yang berjaya mematahkan rangkaian pengedaran dadah dalam dua kes berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Seperti biasa, penghargaan seperti ini akan diberikan terus kepada pasukan yang berjaya menahan penjenayah dan membanteras jenayah agar menjadi contoh serta terus berdedikasi dalam penugasan mereka sebagai anggota yang menjaga keselamatan negara,” katanya.