Covid-19: Sah mutasi D614G dalam Kluster Tawar

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan virus Covid-19 yang sampelnya diambil daripada Kluster Tawar didapati mempunyai mutasi D614G.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Institusi Penyelidikan Perubatan (IMR) KKM telah menjalankan kajian virologi terhadap kluster itu dengan mengambil 14 sampel bagi tujuan penjujukan genom penuh.

"Empat daripadanya berjaya mendapat virus untuk kajian sequencing tersebut," katanya pada sidang akhbar perkembangan terkini kes Covid-19 di kementeriannya hari ini.

Beliau berkata, empat sampel virus Kluster Tawar itu telah dibandingkan dengan tiga sampel virus Kluster PUI Sivagangga.

"Hasil kajian mendapati ketujuh-tujuh virus ini adalah daripada kumpulan yang sama.

"Ini mencadangkan bahawa Kluster Tawar dan Kluster PUI Sivagangga adalah kemungkinan besar daripada sumber yang sama," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenalpasti pesakit Kluster Tawar yang terdedah dengan PUI Sivagangga.

"Kita sedang mengenalpasti pesakit manakah yang berkaitan dengan Kluster PUI Sivagangga," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, setakat ini Kluster Tawar merupakan kluster aktif yang terbesar dilaporkan dengan 4,521 orang telah disaring.

Katanya, kes pertama bagi Kluster Tawar dilaporkan ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat (CPRC) Kebangsaan pada 12 Ogos lalu.

"Dalam tempoh 14 hari, sebanyak 72 kes positif telah dikesan dengan kadar positiviti adalah 1.61 peratus sehingga melibatkan tiga generasi.

"Seramai 21 kanak-kanak disahkan positif Covid-19 dalam kluster tersebut," katanya.

Sebelum ini, media antarabangsa melaporkan hanya dua negara di Asia yang mengesan strain mutasi D614G iaitu Malaysia dan Filipina.

Strain mutasi ini dipercayai berasal dari Eropah dan merebak sehingga menjadi super spreader di Pakistan dan India.

Kekuatan strain dikatakan sama seperti strain biasa tetapi ia cepat merebak dan tinggi viral load.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, kadar kebolehjangkitan (R0) atau lebih dikenali sebagai R-naught telah meningkat kepada 0.74 sehingga semalam.

"Ia susulan daripada kewujudan kluster-kluster baharu dilaporkan termasuk Kluster Tawar sejak 4 Ogos lalu.

"Nilai R0 terendah direkodkan pada 4 Ogos lepas dengan kadar 0.58," katanya.

Beliau berkata, KKM sentiasa berusaha untuk mengurangkan R0 kepada kurang daripada satu secara berterusan.

"Ia membantu memutuskan rantaian penularan Covid-19 di dalam negara," katanya.