Pahang lakukan pemutihan tanah haram seluruh negeri

Mohd Sharkar
Mohd Sharkar
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang sedang mencari penyelesaian bagi 'menghalalkan' tanah yang diterokai secara haram oleh beberapa pihak di seluruh negeri ini dengan melakukan pemutihan tanah haram di seluruh negeri.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komuniti Negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, usaha itu bagi mengelakkan ketirisan hasil negeri akibat penerokaan tanah yang sekian lama berlaku.

Menurutnya, pemutihan itu perlu supaya ada situasi menang-menang bukan sahaja dalam kalangan peneroka tanah dan memberi hasil kepada kerajaan negeri.

"Saya memberi contoh, sebelum ini 30 tahun tanah kerajaan negeri diteroka secara haram untuk penanaman kelapa sawit dan dalam tempoh berkenaan, satu sen pun tidak dibayar kepada kerajaan negeri.

"Itu merupakan satu ketidakadilan dan atas faktor itulah kerajaan negeri mencari penyelesaian untuk 'menghalalkan' tanah yang diteroka secara haram di seluruh negeri ini,"

"Salahkah kerajaan Pahang berbuat demikian? Banyak lagi rakyat Pahang tidak mempunyai tanah," soalnya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Sharkar berkata, kerajaan Pahang tidak merampas atau mengambil alih tanah itu malah masih diusahakan sehingga kini oleh peneroka.

Menurutnya, langkah yang dilakukan oleh kerajaan ialah dengan meletakkan beberapa syarat seperti pihak terbabit (pencerobohan) perlu membayar denda, meminta mereka menjelaskan premium, sewaan atau pemilikan sementara tanah, membayar cukai dan mengutip hasil tahunan.

Artikel Berkaitan:

Tambah Mohd Sharkar berkata, DAP kini dilihat mahu menjadi juara dalam isu penerokaan tanah haram membabitkan pekebun durian di Raub.

"Mereka pastinya akan menjadi pejuang kononnya membela nasib rakyat, kita lihat sahaja dalam isu membabitkan kilang memproses nadir bumi Lynas di Gebeng sebelum ini, DAP menjadi pejuang dalam isu itu namun selepas berkuasa senyap.

"Apa yang dilakukan oleh kerajaan Pahang ini adalah rutin dalam pentadbiran, itu hak kerajaan negeri yang bukan dirampas atau diambil balik," katanya.