Beri SPR kuasa untuk kawal parti politik: ERC

Ab Rashid menunjukkan laporan 49 syor yang diserahkan kepada Muhyiddin pagi tadi.
Ab Rashid menunjukkan laporan 49 syor yang diserahkan kepada Muhyiddin pagi tadi.
A
A
A

PUTRAJAYA - Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC) mengesyorkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diberi kuasa untuk mengawal parti politik yang terdapat di negara ini.

Pengerusinya, Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman berkata, perkara itu dapat dilakukan dengan melakukan pemindahan fungsi pendaftaran parti politik yang kini di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) kepada SPR.

"Bagilah sedikit 'gigi' supaya SPR dapat kawal parti politik," katanya.

Menurutnya, syor yang ke-10 dalam senarai tersebut telah pun dipersetujui oleh parti-parti politik ketika sesi libat urus bersama ERC.

"Iya. Mereka setuju (pendaftaran diletakkan di bawah SPR)," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, syor berkenaan bukan untuk merendahkan ROS, namun jabatan itu tidak mempunyai kuasa untuk mengawal parti politik.

"Saya tak fikir ROS dapat jalankan tanggungjawab itu kerana tiada kuasa," katanya.

Ab Rashid berkata, selain itu, SPR perlu mempunyai kuasa untuk berfungsi sebagai audit dana parti politik.

Artikel Berkaitan:

"Kita cadangkan dalam laporan ini bahawa perbelanjaan pilihan raya mesti diaudit.

"Ini adalah salah satu fungsi SPR kelak," katanya.

Menurutnya, semua dana dan sumbangan yang diterima dan dibelanjakan oleh parti politik akan diteliti oleh SPR.

"Kalau kita buat ini, semua orang gembira," katanya.

Beliau berkata, ERC turut mengesyorkan pengasingan fungsi SPR bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap suruhanjaya itu.

"Syor ini dibuat selepas mengkaji tindakan di beberapa negara.

"Kita sarankan kerajaan mewujudkan tiga badan berasingan tetapi mempunyai kaitan rapat antara satu sama lain," katanya.

Beliau berkata, SPR akan menjalankan fungsinya sebagai pembuat dasar berkaitan pilihan raya.

"Ia juga akan menguatkuasakan undang-undang dan mengambil tindakan dalam semua hal pilihan raya," katanya.

Tambahnya, pilihan raya yang dijalankan sekretariat akan dijadikan sebagai badan mengurus pilihanraya selain menubuhkan Suruhanjaya Sempadan Pilihan Raya.

"Setiap lapan tahun mereka akan mengkaji persempadanan pilihan raya.

"Kita syorkan tiada lantikan tetap kerana kita tidak mahu SPR dituduh atau memihak kepada mana-mana pihak," katanya.

Terdahulu Ab Rashid bersama anggota ERC menyerahkan laporan syor berkenaan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam pertemuan itu, Muhyiddin memberi jaminan bahawa kerajaan akan meneliti segera dan akan membentangkan kepada kabinet.

"Harapan ERC agar kesemua cadangan ini dipertimbangkan dan dilaksana bagi memastikan amalan demokrasi melalui pilihan raya dapat dipertingkatkan," katanya.

Pada 16 Ogos 2018, ERC ditubuhkan selepas Pakatan Harapan memenangi PRU-14 bagi mengkaji semula sistem dan undang-undang pilihanraya di negara ini.