31 projek bernilai RM1.753 bilion diwarisi daripada kerajaan BN

 Ahli Parlimen Bagan yang juga bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng (tengah) ketika mengadakan sidang media pada Persidangan Dewan Rakyat Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. Foto: Bernama
Ahli Parlimen Bagan yang juga bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng (tengah) ketika mengadakan sidang media pada Persidangan Dewan Rakyat Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mendedahkan 31 daripada 101 projek rundingan secara terus ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) adalah projek yang diwarisi daripada kerajaan Barisan Nasional.

Beliau berkata, penemuan awal pihaknya mendapati 31 projek bernilai RM1.753 bilion itu merupakan kontrak sambungan dan penambahbaikan bekalan dan perkhidmatan yang diwarisi daripada kerajaan BN.

"Kontrak-kontrak tersebut juga selalunya melibatkan perkhidmatan atau bekalan yang memerlukan kepakaran tertentu atau monopoli misalnya Kementerian Komunikasi dan Multimedia terpaksa memperoleh perkhidmatan sewaan satu 'multiplexer' berserta infrastruktur dan fasiliti rangkaian bagi siaran TV digital bagi tempoh tiga tahun dengan nilai RM254 juta kerana tiada pilihan lain.

"Kontrak melantik MYTV untuk perkhidmatan tersebut telah dibuat pada 2014 semasa kerajaan BN.

"Begitu juga dengan kontrak pengurusan operasi dan penyelenggaraan sistem Perkhidmatan Respons Kecemasan Malaysia 999 (MERS999) dengan Telekom Malaysia Berhad sebagai pembekal tunggal bernilai RM94 juta merupakan perolehan dalam situasi sama," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kementerian Kewangan dedah senarai 20 kementerian

Beliau menegaskan, hanya lebih kurang RM352 juta atau 5.3 peratus daripada RM6.61 bilion merupakan perolehan baharu rundingan terus yang dilaksanakan oleh kerajaan PH.

"Daripada nilai ini, RM170 juta iaitu hampir setengah daripada 48.3 peratus nilai keseluruhan ialah untuk projek membina, mengoperasi dan menyelenggara stesen pemindahan sisa pepejal baharu di Taman Beringin, Jinjang Utara bagi menggantikan stesen sedia ada.

Artikel Berkaitan:

"Ia merupakan projek diterajui oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). Mungkin lebih baik jika menteri terlibat (Zuraida Kamaruddin), yang begitu lantang menafikan penawaran sebarang kontrak secara rundingan terus menjelaskan apa sebabnya projek ini ditawarkan secara rundingan terus," katanya.

Guan Eng turut mendakwa, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menteri-menteri pengkhianat PH yang kini menteri kerajaan Perikatan Nasional (PN) juga ada meminta projek rundingan terus.

"Pembohongan menteri-menteri pengkhianat dibongkar dengan pendedahan senarai Tengku Zafrul semalam yang menunjukkan kementerian yang disandang sebelum ini.

"Antaranya Kementerian Dalam Negeri (Muhyiddin) meminta RM517.7 juta; Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (Zuraida) meminta RM170.8 juta; Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) meminta RM1.2 juta dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (Datuk Seri Rina Harun) meminta 7.36 juta," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua projek rundingan terus KPKT di luar pengetahuan menteri

Jelasnya lagi, selain permintaan menteri-menteri tersebut, projek-projek besar seperti projek Landasan Berkembar Elektrik Lembah Klang (KVDT2) mendapat kelulusan Kabinet.

Justeru, Guan Eng menggesa Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mendedahkan projek rundingan terus zaman BN dan lebih penting projek yang diluluskan beliau sendiri pada ketika ini.

"Beliau harus membuktikan semua projek rundingan terus yang diluluskan adalah teratur dan berkepentingan awam.

"Biar rakyat buat penilaian sendiri, kerajaan mana yang menyokong prinsip akauntabiliti dan ketelusan," katanya.

Semalam, Kementerian Kewangan mengeluarkan senarai kementerian dan jabatan yang mendapat kelulusan perolehan kerajaan secara rundingan terus (RT) ketika pentadbiran kerajaan PH membabitkan 101 projek bernilai RM6.61 billion.

Tengku Zafrul berkata, senarai itu didedahkan atas dasar mendukung urus tadbir yang baik demi ketelusan pentadbiran.

ARTIKEL BERKAITAN: Senarai rundingan terus diumum atas dasar telus: Tengku Zafrul