Kerajaan tidak perlu beri alasan RUU ditarik balik

Takiyuddin Hassan
Takiyuddin Hassan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Takiyuddin Hassan menegaskan bahawa kerajaan tidak perlu memberi sebarang sebab dan alasan mengenai penarikan balik Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) berkaitan perjawatan Perdana Menteri.

Takiyuddin berkata, di bawah Peraturan Mesyuarat 62, Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, jelas menyatakan ahli yang menjaga sesuatu rang undang-undang boleh berdiri di tempatnya dan minta menarik balik rang undang-undang itu.

“...atau hendak menangguhkan ke peringkat satu lagi rang undang-undang itu sama ada sebelum dimulakan urusan mesyuarat atau apabila sampai kepada rang undang-undang itu di dalam aturan urusan mesyuarat.

“Tidak ada dinyatakan bahawa apabila kerajaan ingin menarik balik satu-satu rang undang-undang perlu diberikan sebab kenapa ia perlu ditarik balik,” katanya menjawab usul yang dibangkitkan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) mengenai perkara itu selepas sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Takiyuddin berkata, bahawa keputusan cadangan pindaan Perlembagaan itu dibawa oleh kerajaan Pakatan Harapan untuk bacaan kali pertama pada 3 Disember 2019.

“Cadangan pindaan kepada Perlembagaan itu telah dibawa oleh kerajaan Pakatan Harapan sehingga bacaan kali pertama (3 Disember 2019) oleh perdana menteri yang menjadi perdana menteri selama 22 tahun dan 22 bulan,” katanya.

Bagaimanapun menurutnya, melalui pindaan yang dicadangkan itu seseorang ahli Dewan Rakyat tidak boleh dilantik sebagai perdana menteri bagi tempoh dua penggal.

Beliau menjelaskan demikian susulan usul yang dibawa Sim mengenai Peraturan Mesyuarat 14 yang mahu Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Dr Mohd Rashid Hasnon, meminta menteri memberi penjelasan mengenai penarikan semula rang undang-undang berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Semalam, Takiyuddin menarik balik rang undang-undang itu daripada dibentang untuk bacaan kali kedua dan ia dibuat di bawah Peraturan Mesyuarat 62, Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, selepas sesi soal jawab persidangan.

Pindaan Perlembagaan Fasal 2 itu bertujuan menggantikan perenggan (a) Fasal (2) Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan untuk mengadakan peruntukan bagi kriteria tambahan berhubung kelayakan ahli Dewan Rakyat untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

Melalui pindaan yang dicadangkan itu, seseorang ahli Dewan Rakyat tidak boleh dilantik sebagai Perdana Menteri jika pernah memegang jawatan Perdana Menteri bagi tempoh dua penggal Parlimen. - Bernama