Mac bulan didik solat di Terengganu

Mohd Nor (tengah) mengedarkan risalah kepada orang ramai sempena kempen pencegahan jenayah syariah di Pesisir Payang, semalam.
Mohd Nor (tengah) mengedarkan risalah kepada orang ramai sempena kempen pencegahan jenayah syariah di Pesisir Payang, semalam.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri akan memperhebatkan lagi kempen menunaikan solat kepada seluruh masyarakat Islam di Terengganu pada Mac ini.

Exco Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan, Mohd Nor Hamzah berkata, tumpuan terhadap rukun Islam kedua itu akan diperkasakan selain kempen pencegahan maksiat dan menutup aurat yang kini rancak dijalankan di negeri ini.

“Bulan Mac ini dikhaskan sebagai bulan solat di mana aktiviti kempen secara berterusan akan diperhebat dan dilakukan secara berterusan kepada masyarakat.

“Sebagai contoh, walaupun duduk di tepi pantai sehingga jam 12 malam, solat subuh jangan sengaja ditinggalkan,” katanya selepas menyertai Kempen Jenayah Syariah di Pesisir Payang di sini, semalam.

Hadir sama, Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Azmi Mat Arsyad; Timbalan Pesuruhjaya JHEAT, Mohd Azam Awi dan Ketua Penolong Pesuruhjaya (Penguatkuasaan), Nik Zulhaiza Ismail.

Menurutnya, tiada tempoh dihadkan kepada kempen itu kerana ia akan dijalankan secara berterusan dan memberi fokus kepada mendidik masyarakat.

“Kita tidak mahu beri penumpuan kepada hukuman, sebaliknya beri fokus kepada didikan untuk beri kefahaman dan dari situ akan datangnya kesedaran dalam diri masyarakat.

“Penguatkuasaan adalah pilihan terakhir. Ia adalah undang-undang dan peraturan yang perlu dilakukan. Kita harap undang-undang ini sebagai pintu untuk sekat maksiat dan mahu masyarakat kita memahami perkara ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Mohd Nor berkata, kempen pencegahan maksiat dan menutup aurat di negeri ini dilihat semakin diterima masyarakat apabila kehadiran anggota penguat kuasa disambut baik.

“Sambutan yang diberikan begitu baik bahkan orang ramai bersedia bergambar dengan anggota penguat kuasa kita di samping menerima risalah yang diedarkan,” katanya.

Seramai kira-kira 20 anggota penguat kuasa menjalankan kempen di Pesisir Payang bermula jam 11 malam tadi dan kawasan itu dipilih kerana ia antara lokasi tumpuan keluarga dan golongan muda mudi untuk meluangkan masa cuti, berehat dan mencari ketenangan.

Selain Pesisir Payang, lokasi tumpuan dan kawasan rekreasi seluruh daerah di negeri ini juga akan diberi keutamaan bagi memastikan adab dan peraturan yang digariskan kepada masyarakat Islam di negeri ini terpelihara.