Mahkamah benar pinda notis usul lucut harta Najib, 17 yang lain

Najib Tun Razak
Najib Tun Razak
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk meminda notis usul pelucutan hak terhadap ratusan beg tangan pelbagai jenama termasuk wang tunai, jam tangan dan 27 buah kereta yang dirampas daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor serta 16 pihak lain.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan membenarkan permohonan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Faten Hadni Khairuddin memaklumkan bahawa pihaknya akan meminda notis usul dan membetulkan tiga afidavit sokongan yang diikrarkan oleh bekas Timbalan Pendakwa Raya Fatnin Yusof, Asisten Komisioner R Rajagopal dan Superintendan Foo Wei Min bagi menyokong notis usul berkenaan.

"Terdapat pembetulan yang agak banyak dalam notis usul asal dan afidavit sokongan sebelum ini. Pihak kami bimbang ia akan mengelirukan mahkamah. Oleh itu, kami akan memfailkan notis usul dan afidavit sokongan yang baharu," katanya.

Pindaan itu juga dibuat berikutan terdapat kesilapan pada nombor akaun bank, jenis akaun, nama dan cawangan bank serta tarikh sitaan pada notis usul dan afidavit sokongan yang difailkan sebelum ini.

Sementara itu, peguam Fazreen Hazrina Rahim yang mewakili Najib berkata, pihaknya tidak membantah permohonan pihak pendakwaan, namun memohon supaya proses pewartaan notis kepada pihak ketiga dipercepatkan.

"Kesilapan telah disedari oleh pihak pendakwaan pada saat-saat akhir dan pihak kami juga telah memasukkan hujahan berhubung notis usul asal. Oleh itu, kami memohon supaya mahkamah mengeluarkan perintah untuk pewartaan notis kepada pihak ketiga secepat mungkin," kata peguam itu.

Permohonan untuk meminda notis usul dan membetulkan tiga afidavit sokongan itu juga tidak dibantah oleh peguam yang mewakili responden-responden lain.

Pewartaan notis kepada pihak ketiga adalah bagi membolehkan pihak ketiga diminta hadir ke mahkamah bagi memberikan alasan mengapa harta berkenaan tidak sepatutnya dilucut hak oleh kerajaan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Faten Hadni ketika ditemui pemberita berkata, pihaknya akan memfailkan notis usul terpinda dan afidavit sokongan selewat-lewatnya pada 3 September depan.

Katanya, mahkamah juga telah menetapkan 4 September untuk pengurusan kes bagi mendapatkan perintah supaya notis kepada pihak ketiga yang baharu digazetkan.

Dalam notis usul itu, Pendakwa Raya menamakan Najib, Rosmah dan anak mereka iaitu Nor Ashman Razak Mohd Najib dan Nooryana Najwa Mohd Najib; Riza Shahriz Abdul Aziz (anak tiri Najib); Mohd Kyizzad Mesran, Senijauhar Sdn Bhd; Aiman Ruslan, Yayasan Rakyat 1Malaysia, Yayasan Semesta; Yayasan Mustika Kasih; Rembulan Kembara Sdn Bhd, Goh Gaik Ewe (ibu kepada Low Taek Jho); Roger Ng Chong Hwa (bekas pegawai bank Goldman Sachs) dan isteri Lim Hwee Bin; Kee Kok Thiam; Tan Vern Tact dan Geh Choh Hun sebagai responden pertama hingga ke-18.

Antara barangan yang disita itu ialah 52 buah beg tangan pelbagai jenama, 10 utas jam tangan pelbagai jenama, wang tunai berjumlah RM537,000, Pound Sterling 2,700, Rupee Sri Lanka 2,870,000, wang lama Ringgit Malaysia RM187,750, Pound Sterling 320,500, Rupiah 13,177,00, AS$100, Hryvnies (Ukraine) 376, Euro 20, France 50, South African 10 Rand, Singapore Dollar 40, Riyal 531, Phillipines Peso 740 dan Ringgit Malaysia 21,150 (wang baharu) yang disita pada 17 Mei 2018 oleh pihak polis.

Barangan lain yang disita pada tarikh sama (17 Mei 2018) ialah empat utas jam tangan pelbagai jenama, empat buah beg tangan pelbagai saiz dan jenama, 167 buah beg tangan pelbagai jenama dan 27 pasang kasut pelbagai jenama serta 40 buah beg tangan pelbagai jenama turut disita pada 11 Jun 2018.

Sebanyak 27 buah kereta jenis model Nissan Urvan turut disita pada 2 Ogos 2018 selain beberapa bidang tanah dan aset lain. - Bernama