Kerajaan akan pinda, tambah naik kawasan ESSCom

Ismail Mohamed Said
Ismail Mohamed Said
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan meminda dan menambah baik kawasan serta tempoh perintah berkurung di lokasi panas Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) berdasarkan hasil risikan serta maklumat daripada pasukan keselamatan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri I Datuk Seri Ismail Mohamed Said berkata, kerajaan juga akan mengenal pasti kawasan selamat sebagai kawasan bebas perintah berkurung.

"Pihak ESSCom bersama Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali melalui Jawatankuasa Keselamatan Negeri sentiasa mengkaji isu berkaitan perintah berkurung yang masih dilaksanakan sejak 19 Julai 2014,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurutnya, kawasan operasi ESSCom meliputi 10 daerah dengan tujuh daripadanya iaitu Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran masih dilanjutkan perintah berkurung selama 14 hari mengikut Seksyen 31 (4) Akta Polis 1967.

Sementara, tiga kawasan lagi iaitu Pitas, Kota Marudu dan Kudat diisytiharkan bebas perintah ESSCom.

“Tujuan perintah berkurung dikuatkuasakan adalah bagi memastikan kawasan perairan di tujuh daerah berkenaan tidak diceroboh oleh penjenayah rentas sempadan yang boleh mengancam keselamatan dan keharmonian komuniti maritim terutamanya kepada para pelancong dan nelayan laut dalam,” katanya.

Kepada soalan tambahan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) mengenai pencapaian ESScom memerangi jenayah pencerobohan di kawasan sempadan perairan Sabah, Ismail berkata hubungan baik antara Malaysia bersama Filipina dan Indonesia turut memainkan peranan.

Katanya, operasi Op Benteng juga merekodkan pelbagai kejayaan antaranya menahan nelayan asing asing serta mengusir bot nelayan itu dari kawasan perairan Sabah.

Artikel Berkaitan:

“Menerusi Op Benteng pada 12 Jun di Sandakan, sebanyak 1,456 bot nelayan diperiksa, 12 nelayan warga Filipina ditahan manakala Op Benteng pada 26 Ogos di Tawau, 2,776 bot nelayan diperiksa, 29 bot nelayan diusir dengan 111 nelayan warga Indonesia ditahan,” katanya.

Tegasnya, kerajaan sentiasa mengutamakan aspek keselamatan perairan negara terutama di kawasan ESSCom dengan meningkatkan operasi bersama Angkatan Tentera Malaysia, Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia dan Pasukan Gerakan Am. - Bernama