X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 28 Jun 2022

Pegawai kanan bomba didakwa salah guna kuasa

Mohd Roslan mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan salah guna kuasa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
A
A

KUALA TERENGGANU - [DIKEMASKINI] Seorang pegawai kanan bomba dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan salah guna kuasa untuk mendapatkan suapan bernilai RM15,540 empat tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Roslan Zakaria, 37, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan mengikut dua pertuduhan di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai penjawat awam didakwa menggunakan jawatan untuk mendapatkan suapan dengan mencadangkan sebut harga milik ibu mentuanya, Pak Su Global Enterprise untuk melaksanakan kerja-kerja pembekalan 60 unit antenna dan 30 unit alat ganti pengecas bernilai RM8,100.

Tertuduh turut didakwa melakukan kesalahan sama dengan mencadangkan sebut harga Muazzam Global Enterprise milik adik iparnya untuk melaksanakan kerja-kerja pembekalan 31 unit kompas berjumlah RM7,440.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur di Marang pada November 2016.

Bagi setiap kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang tinggi, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 21 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Mahkamah turut meletakkan syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan perlu melapor diri setiap awal bulan di pejabat SPRM berhampiran sepanjang prosiding.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh, manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Hayyatuddin Muhamad di hadapan Hakim Jamaludin Mat.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!