Presma bidas Kementerian Sumber Manusia tidak mesra perniagaan

Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma)
Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma)
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) membidas Kementerian Sumber Manusia kerana tidak mesra perniagaan.

Pertubuhan itu juga mendakwa, kementerian itu tidak mahu mendengar masalah yang dihadapi oleh pengusah-pengusaha restoran.

Presiden Presma, Ayoob Khan Muhamad Yakub berkata, kementerian hanya sekadar mengumumkan pelaksanaan inisiatif-inisiatif baharu tetapi malangnya tidak memberi manfaat dan impak kepada majikan yang memerlukan pekerja.

"Sekali lagi kementerian telah mengumumkan kaedah baru untuk pengambilan pekerja asing. Kali ini pendaftaran atau pengambilan dalam talian. Banyak kali kementerian memperkenalkan kaedah-kaedah baru tetapi kebanyakannya hanya sekadar bercakap dan bukan tindakan.

"Banyak kali kementerian telah melaksana tindakan 'flip flop'. Ini tidak baik untuk usahawan restoran. Kami telah telah banyak kali meminta bantuan kementerian, sejak kerajaan PH mula berkuasa namun belum ada penyelesaian yang bermanfaat kepada kami.

"Kami merasakan kementerian sebenarnya tidak mesra perniagaan dan tidak berminat untuk mendengar rintihan golongan peniaga melainkan sekadar menghasilkan inisiatif baru hanya untuk tujuan pameran sahaja," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran mencadangkan pelaksanaan sistem dalam talian sepenuhnya untuk pelbagai permohonan khususnya yang melibatkan wang termasuk pengambilan pekerja asing bagi mengelak sebarang unsur rasuah dan penyelewengan.

Langkah itu akan memastikan pegawai agensi penguat kuasa dan kawal selia di bawah kementerian tidak berurusan terus dengan orang awam dan sekali gus mengurangkan gejala rasuah.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN - KSM cadang laksana sistem dalam talian sepenuhnya

Dalam pada itu, Ayoob Khan berkata, ahli-ahli Presma kini berhadapan masalah kekurangan pekerja yang serius sehingga ramai dalam kalangan mereka sudah menutup perniagaan walaupun perkara itu sudah berulang kali dimaklumkan kepada pihak kementerian.

"Dulu kementerian mengadakan sesi townhall di setiap negeri tetapi mereka tidak pernah datang dengan penyelesaian yang betul. Kami memberikan semua maklum balas dan memorandum kami untuk penyelesaian secara menang-menang untuk pemilik kerajaan dan restoran.

"Kami telah meminta pengganti bagi mendapatkan pekerja asing, tetapi pihak berkuasa tidak mengambil tindakan. Sebagai contoh, apabila pekerja terpaksa dihantar pulang, kami perlu pekerja baru, jika tidak pada akhirnya tidak akan ada pekerja yang tinggal," ujarnya.

Tambah beliau, keadaan tersebut tidak sahaja berlaku dalam industri makanan tetapi melibatkan industri lain.