X

Kindly register in order to view this article
!

Akronim baharu MAFI dilancarkan

Ronald (dua dari kiri) diiringi Che Abdullah (dua dari kanan) pada majlis memperkenalkan akronim baharu MAFI di MAEPS Serdang semalam. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A

SERDANG - Akronim baharu Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dilancarkan semalam seiring dengan penjenamaan semula kementerian itu di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, seiring dengan pembentukan Kabinet baharu, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani kini dijenamakan sebagai MAFI.

“Akronim baharu ini diperkenalkan sesuai dengan penjenamaan kementerian ini yang dibuat Perdana Menteri.

“Semoga penjenamaan semula kementerian ini dapat memberikan semangat baharu untuk sama-sama kita memajukan sektor pertanian di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pra Pelancaran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Malaysia (MAHA) 2020 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini semalam.

Ronald menyempurnakan acara pelepasan konvoi 20 kenderaan sempena sambutan Hari Kemerdekaan peringkat kementerian tersebut. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
Ronald menyempurnakan acara pelepasan konvoi 20 kenderaan sempena sambutan Hari Kemerdekaan peringkat kementerian tersebut. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR

Turut hadir, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi dan Ketua Setiausaha MAFI, Datuk Zainal Azman Abu Seman.

Sempena majlis pra pelancaran itu, sesi pengenalan akronim baharu MAFI yang menggantikan MOA itu dilakukan serentak dengan sambutan Hari Kemerdekaan peringkat kementerian itu.

Sebagai simbolik sambutan Hari Kemerdekaan itu, sebanyak 20 kenderaan jabatan, agensi dan persatuan di bawah MAFI berkonvoi mengelilingi Putrajaya.

Acara pelepasan seramai 50 peserta konvoi itu termasuk daripada Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) disempurnakan oleh Ronald.

Ronald berkata, sambutan kemerdekaan itu dilakukan bagi menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan di peringkat kementeriannya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!