Guru bawa pulang RM151,515.15

Ung Hua (kanan) menerima replika cek wang tunai yang dimenangi menerusi Cabutan 15 Tahun SSPN-i 2019 daripada Pengurus Besar Pejabat PTPTN Negeri Sarawak, Yussuf Chik.
Ung Hua (kanan) menerima replika cek wang tunai yang dimenangi menerusi Cabutan 15 Tahun SSPN-i 2019 daripada Pengurus Besar Pejabat PTPTN Negeri Sarawak, Yussuf Chik.
A
A
A

SIBU - Kesedaran menyimpan wang untuk kegunaan anak-anak pada masa depan membawa tuah kepada seorang guru apabila beliau memenangi hadiah utama berupa wang tunai berjumlah RM151,515.15 menerusi Cabutan 15 Tahun SSPN-i 2019.

Law Ung Hua, 32, yang mengajar di sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Sarawak berkata, beliau tidak menyangka menang dan menganggap ia sebagai ‘bonus’ bagi simpanannya melalui SSPN-i.

“Selepas terima panggilan daripada pegawai PTPTN, saya terkejut dan tak percaya yang saya menang hadiah wang tunai itu.

“Memang tak sangka sebab ramai lagi pendeposit yang menyimpan di SSPN-i namun saya anggap itu rezeki untuk anak-anak,” katanya.

Ibu kepada sepasang cahaya mata itu berkata, beliau membuka akaun SSPN-i untuk dua anaknya dua tahun lalu demi masa depan mereka.

“Setiap tahun saya akan peruntukkan RM6,000 untuk dimasukkan ke dalam akaun mereka dan saya tak kisah korbankan duit gaji demi untuk memastikan masa depan mereka terjamin.

“Lebih-lebih lagi kos untuk menyambung pelajaran di universiti atau kolej sekarang ini sangat tinggi dan SSPN-i merupakan salah satu cara untuk membiayai yuran pelajaran mereka nanti.

“Selain itu, simpanan SSPN-i menawarkan pelbagai keistimewaan dan manfaat kepada pendeposit seperti dividen kompetitif, pelepasan taksiran cukai, Geran Sepadan dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Ditanya mengenai hadiah kemenangan itu, Ung Hua berkata, wang tunai itu akan didepositkan ke dalam akaun anak-anaknya bagi tujuan pendidikan.

Cabutan 15 Tahun SSPN-i yang dianjurkan oleh PTPTN pada tahun lalu bertujuan menggalakkan rakyat Malaysia mengutamakan penabungan di samping membuat simpanan secara konsisten.

Selain itu, ia bagi menghargai rakyat Malaysia yang memilih SSPN-i sebagai produk simpanan utama untuk pendidikan anak-anak, di samping meraikan produk itu yang telah berada di pasaran selama 15 tahun.

Bagi tahun 2020, PTPTN menganjurkan Cabutan Jom Simpan SSPN-i yang menawarkan hadiah utama berupa wang tunai berjumlah RM100,000.

Pendeposit SSPN-i juga berpeluang membawa pulang wang tunai berjumlah RM30,000 bagi tempat kedua dan RM10,000 bagi tempat ketiga serta 500 pemenang saguhati bakal membawa pulang RM500 setiap seorang. Tempoh promosi bermula dari 1 Julai hingga 31 Oktober 2020.

Info lanjut serta pembukaan dan penambahan akaun SSPN-i layari www.lovesspn.com.