Nasib Brenton Tarrant akan ditentukan hari ini

Tarrant menolak untuk membela dirinya sebelum hakim memutuskan hukuman ke atasnya hari ini. - Foto AFP
Tarrant menolak untuk membela dirinya sebelum hakim memutuskan hukuman ke atasnya hari ini. - Foto AFP
A
A
A

CHRISTCHURCH - Pengganas kulit putih, Brenton Tarrant mengetepikan haknya untuk bercakap bagi membela dirinya sebelum Hakim, Cameron Mander menjatuhkan hukuman ke atasnya hari ini.

Ekstremis berhaluan kanan warga Australia berusia 29 tahun itu memilih untuk berdiam diri selepas lebih 90 mangsa dan saksi serangan ke atas dua Masjid Al Noor dan Linwood di Christchurch, New Zealand memberi keterangan mengasak emosi tentang kejadian menggemparkan itu pada hari ketiga perbicaraan semalam.

Difahamkan, seorang peguam dilantik mahkamah akan membuat kenyataan ringkas bagi pihaknya sebelum hukuman dijatuhkan.

Sebelum dia menolak hak untuk bercakap, Tarrant berdepan empat mata dengan Abdul Aziz yang diangkat sebagai hero tragedi itu kerana bertindak mengejarnya di Masjid Linwood.

“Saya dapat lihat ketakutan pada matanya ketika dia melarikan diri,” katanya yang duduk hanya beberapa meter dari Tarrant.

Aziz turut mengimbas semula kejadian ketika Tarrant melepaskan tembakan rambang, dia bergegas mendapatkan mesin bayaran kad kredit dan berlari keluar melangkah mayat pasangan warga emas sebelum melemparkan ke arahnya yang disifatkan sebagai ‘pengecut dan tidak berhati perut’.

Keadaan semakin tegang apabila Aziz terus melakukan provokasi hingga Tarrant berlari ke keretanya dan dia mengambil kesempatan itu untuk mencampakkan selaras senapang pada kenderaan penyerang tersebut.

“Ia telah memecahkan tingkap sisi keretanya. Anda patut bersyukur kerana saya tidak dapat menangkap anda pada hari tersebut. Anda tidak akan lupakan mata ini ketika anda larikan diri,” tegasnya.

Artikel Berkaitan:

Tarrant yang memecat peguamnya pada bulan lalu mengaku bersalah atas 51 dakwaan membunuh, 40 cubaan membunuh dan satu tuduhan keganasan berhubung serangan berdarah dilancarkannya pada 15 Mac 2019.

Dia dijangka menjadi individu pertama di New Zealand berdepan hukuman penjara seumur hidup tanpa parol. - AFP