'Pejuang bukan parti anak-beranak'

Marzuki (kanan) ketika ditemubual pada sesi Sinar Live bertajuk Pejuang Hanya Gah Pada Nama? di Sinar Harian, hari ini.
Marzuki (kanan) ketika ditemubual pada sesi Sinar Live bertajuk Pejuang Hanya Gah Pada Nama? di Sinar Harian, hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) bukan parti anak-beranak atau parti yang memecah-belahkan orang Melayu.

Timbalan Presidennya, Datuk Marzuki Yahya berkata, tohmahan mengatakan Pejuang hanya ditubuhkan untuk memberi jawatan kepada Datuk Seri Mukhriz Mahathir bagi memastikan beliau tidak tercicir dalam arena politik adalah tidak tepat sama sekali.

Beliau berkata, sebaliknya pelantikan Mukhriz sebagai Presiden Pejuang adalah kerana latar belakangnya yang merupakan sebahagian daripada pengasas parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan antara pemimpin paling tinggi dalam parti itu sebelum ini yang lantang mempersoalkan isu 1MDB.

Justeru katanya, apabila Pejuang ditubuhkan, beliau adalah sosok yang dilihat sangat berkelayakan untuk menerajui parti baharu tersebut atas dasar prinsip yang ditunjukkan.

"Bagi saya jika anak (Mukhriz) menyokong perjuangan bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad (mengasaskan Pejuang) ia bukan sesuatu yang pelik, yang membezakan cuma dari segi jawatan tetapi dari segi prinsip perjuangan dia menyokong.

"Jika kita lihat sejarah, sewaktu Datuk Onn Jaafar (Pengasas dan Presiden UMNO) mahu membuka parti itu kepada orang bukan Melayu ia ditentang dan beliau terpaksa keluar UMNO dan anaknya, Tun Hussien Onn (Perdana Menteri ketiga) juga sanggup keluar UMNO untuk menyokong bapanya," katanya ketika sesi temubual di Sinar Live bertajuk Pejuang Hanya Gah Pada Nama? di Sinar Harian, hari ini.

Tambah Marzuki, jadi beliau melihat apa yang berlaku kepada Mukhriz juga bukanlah sesuatu yang pelik.

"Ia tidak pelik langsung kerana ini bukan nak bagi surat kepada anak untuk dapat jawatan lembaga pengarah. Lagipun kita sekarang berada dalam parti pembangkang, kita tubuh parti bukan dalam kerajaan dan Dr Mahathir juga bukan Perdana Menteri. Jadi tidak salah, Mukhriz diangkat sebagai Presiden Pejuang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Marzuki juga menyangkal dakwaan yang menuduh Pejuang sebagai parti yang cuba memecah-belahkan orang Melayu dan rakyat Malaysia.

Tegasnya, parti ini ditubuhkan selepas Bersatu dilihat sudah tersasar dari perjuangan asal dan tidak berpegang kepada Perlembagaan sebaliknya lebih berpegang kepada apa yang dilakukan walaupun salah.

Katanya, keadaan itu seolah-olah tiada beza dengan Barisan Nasional (BN), jadi Dr Mahathir bersamanya dan rakan-rakan lain yang turut menyokong membuat keputusan untuk meneruskan perjuangan mereka dengan menubuhkan parti Pejuang yang berteraskan Melayu.

"Pelbagai pandangan kita terima daripada orang luar yang kata kita akan pecahkan orang Melayu tapi di sini saya nak gambarkan erti perpecahan sebenar iaitu jika kita lihat apabila kita mengkafirkan sesama Melayu dan Islam, malah kita juga tak makan sembelihan orang yang berbeza parti dengan kita atau menjadikan masjid itu dua imam.

"Itu perkara lebih besar kalau dilihat memecah-belahkan orang Melayu tapi kita tak ajak orang Melayu berpecah. Di awal pertubuhan Bersatu dulu pun, kita tubuhkannya untuk jatuhkan kerajaan kleptokrasi dan tak berniat jatuhkan BN/UMNO.

"Tapi apabila Bersatu yang kita tubuhkan mengkhianati mandat rakyat dan kembali bersekongkol dengan parti yang kalah dan membentuk kerajaan Perikatan Nasional, ia tidak boleh diterima," katanya.

Tegasnya, Bersatu sudah hilang roh dan arah tuju dalam parti itu, maka beliau dan yang lainnya terpaksa menolak kerajaan kleptokrasi atau sekarang dipanggil kerajaan yang memberi apa jua jawatan kepada Ahli Parlimen untuk kekal sebagai Perdana Menteri.

ARTIKEL BERKAITAN: Jika mahu tebus maruah pilih parti Pejuang: Tun M

Pejuang serah permohonan pendaftaran kepada RoS