Kementerian Kewangan dedah senarai 20 kementerian


TENGKU ZAFRUL
TENGKU ZAFRUL
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kewangan mendedahkan sebanyak 20 senarai kementerian yang mengeluarkan tender kerajaan secara rundingan terus bernilai RM6.61 bilion semasa pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

Antara kementerian yang membuat perolehan yang tinggi ialah Kementerian Pengangkutan dengan nilai perolehan sebanyak RM4,477.76 bilion, Kementerian Pertahanan (RM900.86 juta) dan Kementerian Dalam Negeri (RM517.68 juta).

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, perolehan secara rundingan terus dibenarkan dengan kelulusan Kementerian Kewangan.

Menurutnya, ia adalah berdasarkan peruntukan sedia ada di bawah Seksyen 6(1) Akta Tatacara Kewangan 1957 (Semakan 1972) dan pekeliling-pekeliling perbendaharaan yang berkaitan.

"Rundingan terus dibenarkan atas dasar proses perolehan yang memenuhi salah satu atau lebih daripada syarat-syarat iaitu perolehan bekalan dan perkhidmatan melibatkan keperluan mendesak yang mana jika perolehan tersebut tidak dilaksanakan dengan segera, ia boleh memudaratkan dan menjejaskan perkhidmatan serta kepentingan negara.

"Selain itu, keperluan penyeragaman bagi memastikan kesesuaian penggunaan (compatibility) antara barangan sedia ada dengan barangan baru yang diperoleh.

"Satu punca bekalan atau perkhidmatan iaitu pengeluaran produk atau penyediaan perkhidmatan hanya boleh dibekalkan daripada satu sumber sahaja.

"Keselamatan/ strategik yang melibatkan perolehan item atau perkhidmatan demi keselamatan atau kepentingan strategik negara.

Artikel Berkaitan:

"Kontrak dengan syarikat pembuat (manufacturer) bumiputera yang memenuhi semua syarat kelayakan," katanya menerusi satu kenyataan di sini semalam.

Tengku Zafrul berkata, proses tersebut melibatkan permohonan daripada kementerian-kementerian lain kepada MOF.

"Semasa pentadbiran sebelum ini, sejumlah 101 projek atau perolehan yang bernilai RM6.61 bilion telah diluluskan secara RT oleh MOF.

"Dalam beberapa hari yang lalu, terdapat permintaan dibangkitkan berkaitan perkongsian senarai 101 maklumat projek yang telah diluluskan melalui proses rundingan terus ini. Atas dasar mendukung urus tadbir yang baik demi ketelusan pentadbiran," jelasnya.

Pada Isnin lalu, Tengku Zafrul menjawab soalan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) yang bertanya sama ada projek secara rundingan terus ketika pentadbiran terdahulu, ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Covid-19 2020) di Dewan Rakyat

Butiran berhubung rundingan secara terus yang dilakukan pentadbiran PH, selepas peralihan kerajaan pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) itu menyebabkan suasana persidangan Dewan bertukar kecoh, selain beberapa ahli Parlimen mendesak supaya senarai projek berkenaan dibentangkan untuk penelitian lanjut.

Di sebalik kekecohan itu, Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, dilihat tiba-tiba bangun dan meminta kebenaran untuk mengutarakan penjelasan berhubung isu perolehan projek secara rundingan terus ketika pentadbiran PH.

Tindakan beliau mendapat tentangan beberapa ahli Parlimen pembangkang yang menyifatkan sebarang jawapan atau pencerahan berhubung perkara itu sepatutnya diketengahkan oleh Menteri Kewangan, bukan bekas Menteri Hal Ehwal Ekonomi terbabit, walaupun berada dalam pentadbiran Kerajaan PH sebelum ini.

Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, bagaimanapun memberi kebenaran selama seminit kepada Mohamed Azmin untuk mengutarakan pencerahan, sekiranya berkaitan.

Mohamed Azmin berkata: "Kita ada Menteri Kewangan yang berikan butiran, bukti yang jelas bahawa di zaman PH pun berlaku perkara sama.

"Jumlah RM6 bilion (projek rundingan terus) dan tidak betul bahawa Bagan (Lim Guan Eng) kata Kabinet tahu,...mana ada pembentangan senarai-senarai projek rundingan terus itu.

"Bagan tidak pernah bentangkan senarai projek dalam Kabinet...tidak pernah".

Pencerahan Mohamed Azmin menyaksikan Guan Eng dan beberapa ahli Parlimen daripada DAP bangun mencelah.

Bertindak mengawal keadaan, Azhar mengambil pendekatan tuntas dengan meminta ahli Dewan Rakyat supaya kekal duduk, tenang dan memberikan laluan kepada Tengku Zafrul bagi mengakhiri ucapan penggulungan.

Gagal mematuhi amaran yang diberikan, tahap bertolak ansur Azhar sampai ke kemuncak sehingga menyaksikan Datuk Ngeh Koo Ham (DAP-Beruas) diusir keluar Dewan.