Amanah yakin ahli Pas tak undi BN di PRK Slim

Salahuddin ketika bercakap pada sidang akhbar hari ini.
Salahuddin ketika bercakap pada sidang akhbar hari ini.
A
A
A

TANJUNG MALIM - Parti Amanah Negara (Amanah) yakin ahli dan penyokong tegar Pas tidak akan mengundi calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Sabtu ini.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, berdasarkan pengalamannya dalam pimpinan utama Pas sebelum ini, ahli Pas secara fitrahnya tidak akan menyokong apatah lagi memberikan undi kepada UMNO dan BN.

"Secara fitrahnya penyokong Pas ini tidak boleh sokong UMNO, begitu juga UMNO, mereka ini tidak boleh dengan Pas.

"Penyokong-penyokong Pas ini juga sebenarnya tidak boleh berkompromi dengan salah guna kuasa dan kleptokrasi yang sekarang ini berada dalam kerajaan bersama Perikatan Nasional.

"Jadi pada PRK ini, akan ada penyokong-penyokong tegar Pas ambil tindakan untuk tidak mengundi BN, itu saya sangat yakin dan percaya," katanya kepada pemberita sempena Majlis Ramah Mesra Pimpinan Amanah bersama Media di Bilik Operasi Amanah di sini hari ini.

Pimpinan Amanah menyatakan sokongan kepada calon Bebas mewakili Pejuang, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi.
Pimpinan Amanah menyatakan sokongan kepada calon Bebas mewakili Pejuang, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi.

Turut hadir dalam majlis itu adalah Bendahari Agung Amanah, Adly Zahari dan Pengerusi Amanah Perak yang juga Pengarah Pilihan Raya Amanah, Datuk Asmuni Awi.

Pihaknya menganggap PRK Slim sebagai pilihan raya yang penting pada ketika rakyat berada dalam pelbagai polemik politik untuk mencorakkan suasana sebenar dalam pilihan raya umum nanti.

Artikel Berkaitan:

"Jadi pada PRK ini akan ada isyarat diberikan pengundi, kita akan lihat perkara itu sebagai indikator yang secara tersurat dan tersirat memperlihatkan pola pemikiran dan pengundian politik antara penyokong kedua-dua parti," katanya.

Menyokong keyakinan itu, Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar berkata, isyarat awal telah diberikan penyokong Pas dengan menyatakan komitmen dan sokongan untuk mengundi calon Bebas mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Amir Khusyairi Mohamad Tanusi.

Katanya, rata-rata penyokong parti itu generasi berusia 50 tahun ke atas tidak selesa dan tidak gembira dengan perkembangan politik Pas yang kini bersama UMNO dan BN.

"Ini kali keempat saya datang ke kempen ini dan bertemu ahli-ahli Pas, ada antara mereka datang kepada saya memperingati peristiwa-peristiwa ketika bersama Pas dulu, mereka dengan jelas memberikan sokongan kepada calon kita, ini akan dilihat dalam proses pengundian nanti," katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad menyifatkan imej Pas akan tenggelam sekiranya terus bersama UMNO dan BN terutama dalam pembahagian kerusi yang secara tradisinya sebelum ini ditandingi calon Pas.

"Jangan cakaplah ini calon PN kerana sudah jelas lambang pun guna dacing, dalam PRK sebelum ini pun yang ditonjolkan adalah dacing bukannya PN.

"Saya sendiri tidak faham bagaimana Pas boleh bersetuju untuk bergabung bersama tetapi dalam masa sama mengizinkan imej mereka tenggelam begitu saja," katanya.