Tiga buah negeri mahu saman pentadbiran Trump

Ketua peguam kerajaan negeri New York, Letitia James (tengah) bertindak menyaman pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump berhubung operasi perkhidmatan pos. - Foto AFP
Ketua peguam kerajaan negeri New York, Letitia James (tengah) bertindak menyaman pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump berhubung operasi perkhidmatan pos. - Foto AFP
A
A
A

NEW YORK - Tiga buah negeri iaitu New York, New Jersey dan Hawaii semalam menyaman pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berhubung dakwaan perubahan yang berlaku dalam operasi perkhidmatan pos sekali gus akan menjejaskan undi pos dalam pilihan raya presiden negara itu.

Ketua peguam kerajaan negeri New York, Letitia James mengumumkan pasukan tindakan perundangan telah difailkan di Washington selepas berakhirnya keterangan daripada ketua perkhidmatan pos, Louis DeJoy kepada Kongres AS.

Menurut portal berita New York Daily News, James dan beberapa pegawai dari tiga buah negeri itu mendakwa pentadbiran Trump sengaja memperlahankan penghantaran pos dan memotong peruntukan yang tidak perlu bagi menghadapi pilihan raya presiden AS.

Ramai pengundi dijangka mengundi melalui pos berikutan pandemik koronavirus (Covid-19) tetapi Trump menentang lebih banyak peruntukan kewangan diberikan kepada Perkhidmatan Pos AS (USPS) walaupun mengetahui wang tersebut akan digunakan untuk membantu proses pilihan raya.

"Pihak USPS (penghantaran undi pos) yang perlahan tidak lain adalah satu taktik bagi menekan pengundi," kata James dalam kenyataan seperti yang dilaporkan oleh AFP.

Pemfailan di mahkamah itu merupakan satu kemuncak dalam konflik mengenai peruntukan kewangan persekutuan untuk perkhidmatan pos yang sekian lama dianggap sebagai 'batu asas' dalam demokrasi AS.

Bagaimanapun, Trump sebelum ini menyatakan tentangan terhadap undi pos dengan berkata, satu penipuan undi akan berlaku melalui proses tersebut.

Menurut portal berita New York Daily News, perubahan dalam operasi USPS berlaku sejak Presiden AS melantik DeJoy sebagai ketua pos pada bulan Jun lalu. - Agensi

Artikel Berkaitan: