Perak serius tangani isu setinggan, ceroboh tanah

Ahmad Faizal berkata sesuatu ketika melihat model pembangunan kawasan pusat perdagangan Kampar, hari ini.
A
A

KAMPAR - Kerajaan negeri mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Khas Penyelesaian Setinggan Negeri Perak yang dianggotai semua pegawai daerah serta wakil daripada agensi-agensi kerajaan termasuk daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam usaha menangani isu penempatan setinggan serta pencerobohan tanah milik kerajaan yang berlaku hari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, jawatankuasa berkenaan yang dipengerusikannya itu telah pun bermesyaurat pada 22 Januari lalu dan hasilnya sebanyak 12 kes berhubung isu penempatan setinggan dan pencerobohan tanah telah dikenal pasti di beberapa lokasi di sekitar negeri.

Bagaimanapun menurut Ahmad Faizal, pihaknya percaya masih ada lagi kes-kes seumpamanya yang berlaku dan ia berterusan hingga ke hari ini.

“Pada 2011 lebih 60,000 hektar tanah diceroboh secara haram di seluruh negeri Perak. Bagaimanapun jumlah itu telah menurun dengan mendadak di bawah pentadbiran kerajaan terdahulu yang meluluskan tanah-tanah ini kepada pihak GLC.

“Bagaimanapun, kita dapati pencerobohan itu tetap berlaku. Cuma diserahkan kepada pihak lain. Ada masalah peneroka haram, antara kawasan yang dikesan adalah di Batang Padang, Kampar, Kinta dan di seluruh negeri yang melibatkan puluhan ribu hektar.

“Kita tak sedar, bayangkan ladang ribuan ekar, pekerja yang diambil pekerja haram juga. Peluang kerja tak dapat. Tauke pula tinggal di luar negara akibatnya tak datangkan limpahan ekonomi kepada rakyat Perak. It’s wrong!” katanya.

Ahmad Faizal berkata demikian pada sidang media seteleh menyempurnakan Majlis Perasmian Terminal 1 @ Kampar hari ini.

Tambah Ahmad Faizal, kerajaan negeri serius dalam menangani isu berkenaan kerana ia dilihat bakal memberikan impak kepada apsek pembangunan yang mahu dilaksanakan di negeri ini.

Malah katanya, masalah berkenaan boleh menjejaskan usaha kerajaan negeri dalam usaha untuk menarik lebih ramai pelabur asing ke negeri ini.

“Isu setinggan dan pencerobohan tanah-tanah kerajaan ini adalah satu masalah besar kerana masalah ini boleh merencatkan program-program pembangunan yang bakal memberikan kebaikan kepada rakyat,” katanya.

Sementara itu Ahmad Faizal berkata, kerajaan negeri akan cuba membantu golongan miskin yang ‘terpaksa’ menceroboh atau bertani di tanah milik kerajaan berikutan kehidupan mereka bergantung sepenuhnya kepada kerja-kerja bertani berkenaan.

“Golongan ini perlu dibela. Tak kira bangsa, agama kena bela. Bila kerajaan nak bantu golongan seperti ini, kita kena cari jalan untuk tempatkan mereka di tempat lebih sesuai.

“Ada kemungkinan berlaku penghijrahan. Ini baru kita cakap pembangunan terancang. Kalau nampak tanah kosong tanam pokok tak boleh. Nampak tepi lebuh raya ada tanah lapang, tanam pokok, tak boleh. Negara kita ada undang-undang dan mereka bergantung hidup kepada perkara itu, jadi kita kena bantu,” katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia