Covid-19: Enam kes positif hari ini

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

KUALA LUMPUR - Enam kes positif koronavirus (Covid-19) dilaporkan dalam tempoh 24 jam lepas dengan lima melibatkan penularan dalam negara, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, perkembangan terbaharu hingga 12 tengah hari itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif wabak tersebut di negara ini sebanyak 9,291 kes, sementara kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 ialah 188 kes.

Menurutnya, lima kes penularan di dalam negara adalah dalam kalangan warga Malaysia di Kedah iaitu tiga kes daripada Kluster Tawar manakala masing-masing satu kes Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) dan kes saringan bergejala, kedua-duanya di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

"Daripada enam kes baharu yang dilaporkan, satu adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara iaitu Singapura yang melibatkan bukan warganegara. Kes import ini dilaporkan di Selangor," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, terdapat tujuh kes yang telah pulih Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya daripada pandemik itu sebanyak 8,978 kes iaitu 96.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Katanya, sehingga kini, terdapat sembilan kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan enam memerlukan bantuan pernafasan manakala tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini.

"Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia kekal sebanyak 125 kes iaitu 1.35 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.

Menyentuh mengenai Kluster Tawar, Dr Noor Hisham berkata, dengan pertambahan tiga kes kluster tersebut hari ini, jumlah kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster itu ialah sebanyak 73 kes.

Artikel Berkaitan:

Setakat 12 tengah hari tadi, keseluruhannya 4,051 orang telah disaring dalam kluster berkenaan di Kedah, Pulau Pinang dan Perak, di mana di Kedah 3,514 individu telah disaring dengan 62 kes dikesan positif, 2,884 individu didapati negatif manakala 568 masih menunggu keputusan.

"Di Pulau Pinang pula 526 telah disaring, 11 didapati positif, 513 negatif dan dua masih menunggu keputusan manakala di Perak kekal 11 saringan yang mana semua adalah negatif. Tiada saringan baharu," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan telah menjalankan pelbagai intervensi kesihatan awam termasuk aktiviti-aktiviti pencegahan penularan jangkitan Covid-19 bagi Kluster Tawar dan ini telah dijalankan dengan kerjasama pelbagai agensi lain.

"Langkah ini diambil bagi mengekang penularan jangkitan Covid-19 dalam kluster ini terutamanya di negeri Kedah yang telah melaporkan 85 peratus daripada kes positif kluster ini," katanya.

Langkah-langkah lain yang diambil ialah meningkatkan aktiviti pengesanan kes secara aktif, meningkatkan penguatkuasaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP), penutupan sekolah dan premis yang terlibat untuk menjalankan aktiviti nyahkuman dan nyahcemar.

Selain itu, beliau berkata, kementerian turut meningkatkan komunikasi risiko termasuk memaklumkan situasi terkini Covid-19 di kawasan-kawasan yang terjejas melalui media massa.

"Aktiviti-aktiviti ini masih diteruskan di lapangan termasuk saringan kontak rapat kes positif Covid-19. Situasi semasa kluster akan dimaklumkan dari masa ke masa," katanya. - Bernama