Padah lepak di kafe lebih had masa

Mohd Nor Yhazid
Mohd Nor Yhazid
A
A
A
MELAKA - Seramai 27 individu ditahan dalam Op Noda kerana mengingkari arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dengan melepak dalam sebuah kafe di Jalan Kota Laksamana di sini.

Mereka yang terdiri daripada 17 lelaki dan 10 wanita berusia lingkungan 10 hingga 43 tahun itu ditahan dalam serbuan pada jam 5.30 pagi yang dilakukan pasukan Cawangan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7), IPD Melaka Tengah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Melaka, Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris berkata, dua daripada lelaki yang ditahan merupakan penjaga dan pekerja premis berusia 25 dan 21 tahun selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) PKPP dengan berada di premis perniagaan melebihi had masa dibenarkan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan yang bermula pada jam 3.50 pagi mendapati seramai 25 pelanggan masih berada dalam premis dan sedang minum minuman keras.

"Mereka ditahan dikenakan kompaun kerana melanggar arahan PKPP. Sementara penjaga dan pekerja premis ditahan atas kesalahan kerana membenarkan kafe beroperasi lebih masa," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.
Artikel Berkaitan:


Tambahnya, polis turut mengenakan tindakan saman ke atas penjaga premis kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen perniagaan yang sah.

Kesemua individu berkenaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah untuk tindakan kompaun kerana ingkar PKPP di bawah Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (No. 7) 2020.