Macau Scam tipu rakyat Kelantan RM3.2 juta

Gambar kecil: Ahmad Azizul Mohamed
Gambar kecil: Ahmad Azizul Mohamed
A
A
A

KOTA BHARU - Sebanyak 86 kes penipuan Macau Scam membabitkan kerugian bernilai RM3.2 juta direkodkan berlaku dalam kalangan rakyat Kelantan sepanjang tempoh antara Januari sehingga Julai tahun ini.

Mangsa terdiri daripada 42 lelaki dan 44 wanita yang berusia bawah 40 tahun hingga 60 tahun ke atas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) negeri, Superintenden Ahmad Azizul Mohamed berkata, mangsa juga terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk pesara kakitangan awam, profesional dan swasta.

"Seramai 42 orang mangsa adalah bawah usia 40 tahun, 33 mangsa pula berusia antara 40 sehingga 60 tahun dan 11 lagi mangsa berusia 60 tahun ke atas.

“Dari segi jumlah kerugian, kategori umur 40 tahun ke bawah mencatatkan kerugian RM603,000, umur 40-60 tahun mengalami jumlah kerugian RM1.4 juta manakala kategori umur 60 tahun ke atas mencatatkan jumlah kerugian RM1.2 juta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, orang ramai diminta supaya memuat turun aplikasi telefon pintar 'Semak Penipu CCID' bagi membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang digunakan sama ada pemanggil pernah terlibat di dalam kes-kes jenayah komersil atau tidak.

“Semakan boleh juga dibuat secara terus di balai polis atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) yang berhampiran berkenaan dengan panggilan telefon yang diterima.

“Jangan mudah percaya dan mengikut arahan yang diberikan oleh individu tidak dikenali,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, orang ramai juga diingatkan supaya tidak mendedahkan maklumat peribadi dan kewangan melalui telefon atau media sosial kepada individu yang tidak dikenali.

“Jangan serahkan kad mesin transaksi automatik serta nombor pin kepada individu yang tidak dikenali kerana kebarangkalian akaun tersebut akan digunakan oleh penjenayah sebagai keldai akaun.

“Berwaspada dan berhati-hati dengan sindiket ini supaya tidak menjadi mangsa yang seterusnya,” katanya.