Bekas Timbalan Pengarah SKMM didakwa lagi kes tuntutan palsu

 Bekas Timbalan Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Sabah sekali lagi didakwa di Mahkamah Khas Rasuah di sini, hari ini atas tiga pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah lebih RM13,200 antara 2013 dan 2014.
Bekas Timbalan Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Sabah sekali lagi didakwa di Mahkamah Khas Rasuah di sini, hari ini atas tiga pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah lebih RM13,200 antara 2013 dan 2014.
A
A
A

KOTA KINABALU - Bekas Timbalan Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Sabah sekali lagi didakwa di Mahkamah Khas Rasuah di sini, hari ini atas tiga pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah lebih RM13,200 antara 2013 dan 2014.

Karmilla Amirkhan, 41, mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Bagi kesemua pertuduhan, tertuduh didakwa dengan curangnya telah mengemukakan suatu dokumen palsu sebagai tulen bagi tujuan menipu iaitu bagi membuat tuntutan perbelanjaan Program Klik Dengan Bijak di Tingkat 10, Menara MAA, SKMM antara 1 Julai 2013 hingga 5 Ogos 2014

Ketiga-tiga pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 468 kanun yang sama.

Tertuduh turut mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan alternatif melakukan pecah amanah di tempat dan tarikh yang sama mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.

Mahkamah membenarkan tertuduh yang diwakili peguam Mohd Fareez Mohammad Salleh mengguna pakai jaminan terdahulu iaitu RM10,000 untuk kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin, serta syarat tambahan perlu melapor diri kepada SPRM sekali dalam dua bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Pada 22 Januari lepas, tertuduh didakwa atas enam pertuduhan pecah amanah berjumlah RM17,930 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, di mahkamah sama, seorang penjawat awam mengaku tidak bersalah terhadap 20 pertuduhan salah guna kuasa berkaitan kerja pembekalan dan perkhidmatan di Pejabat Kesihatan Daerah Papar, membabitkan nilai RM30,793.

Artikel Berkaitan:

Bagi kesemua pertuduhan itu, tertuduh, Henry Uning, 41, yang bekerja sebagai Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran U32 di Pejabat Kesihatan Daerah Papar didakwa telah menggunakan kedudukan untuk memilih syarikat Riched Enterprise iaitu syarikat milik tertuduh untuk melaksanakan kerja pembekalan dan perkhidmatan di pejabat kesihatan berkenaan sejak 16 Jun 2014 hingga 31 Mac 2016.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Mahkamah membenarkan tertuduh yang tidak diwakili peguam diikat jamin RM10,000 dengan deposit RM5,000 untuk kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin warga tempatan, serta memerintahkan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah dan hadir ke pejabat SPRM sekali dalam masa dua bulan.

Kesemua kes dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Rakhraj Singh dan ditetapkan untuk sebutan semula pada 28 September ini.- Bernama