Isu balak ‘hangatkan’ DUN Kedah

Muhammad Sanusi menunjukkan peta Hutan Simpan Ulu Muda berkaitan kawasan tidak dibenarkan membalak kepada ahli Dewan.
Muhammad Sanusi menunjukkan peta Hutan Simpan Ulu Muda berkaitan kawasan tidak dibenarkan membalak kepada ahli Dewan.
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor mendedahkan 25,223 hektar keluasan Hutan Simpan Ulu Muda (HSUM) diberikan kelulusan membalak sebelum kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengambil alih pentadbiran negeri.

Menurutnya, kerajaan negeri terdahulu sudah melepaskan semua sekatan pembalakan di Ulu Muda dalam Mesyuarat Hasil Bumi dipengerusikan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir pada 5 Mei 2020.

Menurutnya, pendedahan itu dibuat bagi menangkis tuduhan terhadap kerajaan negeri kononnya mahu membuka semula konsesi pembalakan di HSUM yang dibekukan pada 2018.

“Sudah ada kawasan diluluskan pembalakan sebelum saya dilantik sebagai Menteri Besar pada 17 Mei. Malah ada kawasan itu termasuk dalam kawasan hutan cadangan tadahan air tambahan.

ARTIKEL BERKAITAN: Mana mai sampai RM1 bilion, Mukhriz bidas Sanusi

"Kelulusan itu sudah lama dibuat, bukan hanya pada era Mukhriz, cuma pada 5 Mei, sebanyak 22,098 hektar dilepaskan sekatan/pembatalan pembalakan,” katanya pada sidang DUN hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Asmirul Anuar Aris (Amanah-Kubang Rotan) yang mahu jaminan kerajaan negeri memastikan Hutan Ulu Muda sebagai kawasan tadahan air untuk Kedah, Perlis dan Pulau Pinang membabitkan 4.2 juta rakyat terjamin dan kekal terpelihara.

Sebelum itu, keadaan agak tegang apabila Muhammad Sanusi dan Mukhriz (Bebas-Jitra) berbalas hujah masing-masing setelah Mukhriz bertanya soalan tambahan berkaitan tuntutan ganti rugi syarikat pembalakan susulan pembatalan konsesi di Ulu Muda.

Mukhriz mempertikai tuntutan RM1 bilion yang diumumkan Muhammad Sanusi kerana mendakwa memorandum yang dihantar kepadanya tidak menyatakan nilai tuntutan.

Artikel Berkaitan:

Namun Muhammad Sanusi menegaskan, ia berdasarkan kepada nilai tuntutan dikemukakan Persatuan Syarikat-Syarikat Pembalakan yang menghantar memorandum itu kepada Mukhriz, menuntut ganti rugi RM40,000 bagi setiap hektar dengan jumlah keseluruhan 25,000 hektar.

“Sehingga kini, belum ada kawasan ganti untuk kawasan yang dibatalkan konsesi tersebut. Disebabkan itu, kita akan melihat semula keputusan itu dengan cadangan pengecaman di kawasan lain agar tidak mengganggu kawasan Ulu Muda,” katanya.

Menurutnya, kenyataannya sebelum ini disalah tafsir kononnya kerajaan negeri mempunyai hala tuju untuk membalak di kawasan Ulu Muda.

“Kalau dilihat daripada pelan (peta) tidak ada lagi kawasan boleh diluluskan pembalakan di kawasan itu. Jika ada proses penebangan selepas ini, ia bukanlah dalam kelulusan kerajaan sekarang,” katanya.

Mukhriz bagaimanapun memohon penjelasan berkaitan keputusan Mesyuarat Hasil Bumi (5 Mei) yang disifatkan tidak tepat.

“Mohon jawapan tepat, sebab keputusan dalam mesyuarat itu tidak seperti yang disebut, hanya lulus sebahagian kecil untuk GLC Kedah,” katanya.

Muhammad Sanusi sebaliknya sekali lagi mempersoal keputusan dibuat Mukhriz pada 5 Mei sama ada ia berlaku atau sebaliknya.

Mukhriz bertegas memohon perincian dan meminta Muhammad Sanusi berhati-hati mengeluarkan kenyataan.

“Saya sangat berhati-hati, diharap penjelasan ini akan hentikan tuduhan terhadap kerajaan negeri. Setiap tahun Kedah hanya diberi kuota tebangan 3,000 hektar dan Jabatan Perhutanan diberi tanggungjawab memastikan kaedah dan tebangan tidak melebihi kuota,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri akan terus mempertahankan kawasan HSUM daripada pembalakan dan pihaknya tidak pernah meluluskan sebarang aktiviti pembalakan di kawasan itu.

“Kita hanya cadang menggantikan kawasan pembalakan diluluskan sebelum ini di luar kawasan Ulu Muda susulan tuntutan ganti rugi dikemukakan pemegang konsesi pembalakan berjumlah RM1.2 bilion,” katanya.

Katanya, kerajaan negeri juga menuntut ganti rugi daripada kerajaan Persekutuan sebanyak 10 peratus daripada RM1.7 bilion hasil cukai yang dikorbankan kerajaan negeri untuk mengekalkan kawasan tadahan air dan sawah daripada dibangunkan.