Dua lelaki aktif pecah tabung masjid diburu

Salah seorang suspek yang sedang mencuri duit di dalam tabung di sebuah masjid berjaya dirakam CCTV. foto: ihsan PDRM
Salah seorang suspek yang sedang mencuri duit di dalam tabung di sebuah masjid berjaya dirakam CCTV. foto: ihsan PDRM
A
A
A

KEMAMAN - Polis memburu dua lelaki yang mencuri duit tabung di tiga masjid di daerah ini membabitkan kerugian keseluruhan RM2,000 pada Ahad lalu.

Masjid terlibat ialah Masjid Sultan Ahmad di Bandar Chukai, Masjid Labohan Kerteh dan Masjid Kampung Gelugor Bandar Kerteh.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, dalam kejadian itu, kedua-dua suspek berusia 20-an turut bertindak melarikan sebuah televisyen milik Masjid Jamek Kampung Gelugor di sini.

Menurutnya, hasil siasatan dan pemerhatian rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di dalam ketiga-tiga masjid tersebut mendapati kedua-dua suspek menaiki sebuah kereta jenis Perodua Viva yang menggunakan nombor pendaftaran palsu.

"Modus operandi mereka ialah memasuki pekarangan masjid sekitar awal pagi iaitu ketika ketiadaan jemaah.

"Kemudian salah seorang daripadanya memasuki ruang jemaah yang menempatkan tabung derma dan memecahkannya manakala seorang lagi suspek menunggu di luar pekarangan masjid," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Hanyan berkata, pihaknya percaya kedua-dua suspek merupakan orang tempatan dan aktif melakukan aktiviti memecah tabung masjid di daerah Kemaman.

"Kes kini sedang disiasat di bawah seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Orang ramai diminta membantu polis dengan menyalurkan maklumat ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman atau menghubungi bilik gerakan IPD di talian 09- 859 2222.