PKPD pentadbiran: 305 penduduk Padang Terap 'merdeka'

Pegawai kesihatan Daerah Padang Terap memotong gelang merah jambu di tangan penduduk yang terlibat dengan PKPD Secara Pentadbiran di Surau Kampung Ulu, Padang Sanai hari ini.
Pegawai kesihatan Daerah Padang Terap memotong gelang merah jambu di tangan penduduk yang terlibat dengan PKPD Secara Pentadbiran di Surau Kampung Ulu, Padang Sanai hari ini.
A
A
A

KUALA NERANG - Seramai 305 penduduk di sekitar Kampung Ulu, Padang Sanai, dekat sini menyatakan rasa lega dan bersyukur selepas Perintah Kawalan Pergerakan Pentadbiran (PKPD) Secara Pentadbiran di kawasan tersebut tamat pada hari ini.

Hasil pemerhatian Sinar Harian mendapati gelang merah jambu yang dipasang sejak 3 Ogos lalu di tangan mereka juga dibuang dan proses tersebut dilakukan oleh 13 pegawai dari Pejabat Kesihatan Daerah Padang Terap di Surau Kampung Ulu bermula jam 8.30 pagi.

Proses pembuangan gelang merah jambu tersebut berjalan lancar apabila setiap penduduk mengamalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) seperti penjarakkan fizikal dan memakai pelitup muka.

Setiap penduduk yang dipotong gelang tersebut diberikan surat pelepasan daripada menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di kediaman bagi kontak jangkitan koronavirus (Covid-19).

Bagi penduduk seperti warga emas yang tidak mampu bergerak atau hadir sendiri ke surau tersebut, pasukan kesihatan akan bergerak ke rumah mereka untuk melakukan proses pembuangan gelang merah jambu tersebut.

Ketua cawangan UMNO Kampung Ulu, Halim Yahya,55, berkata, walaupun PKPD Secara Pentadbiran di kampung tersebut telah tamat namun beliau berharap penduduk dapat mengambil situasi tersebut sebagai satu pengalaman dan sentiasa berhati-hati jika melawat atau ada urusan di luar daerah ini.

Menurutnya, pengumuman penamatan PKPD Secara Pentadbiran di daerah Padang Terap dan Kubang Pasu pada hari ini memberikan rasa kelegaan dan mereka merasai erti 'kemerdekaan' berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Pegawai kesihatan Daerah Padang Terap memotong gelang merah jambu di tangan penduduk yang terlibat dengan PKPD Secara Pentadbiran di Surau Kampung Ulu, Padang Sanai hari ini.
Pegawai kesihatan Daerah Padang Terap memotong gelang merah jambu di tangan penduduk yang terlibat dengan PKPD Secara Pentadbiran di Surau Kampung Ulu, Padang Sanai hari ini.

"Selepas ini kalau boleh jangan lawat lagi kawasan yang berisiko tinggi ataupun sedang diancam Covid-19, tunggu bagi habis dulu. Jangan ambil risiko sebab kita tidak nampak pandemik ini.

"Kami akui rasa sangat tertekan apabila PKPD Secara Pentadbiran dilaksanakan di kampung kami. Namun kami terpaksa akur arahan supaya penyakit itu tidak merebak dan Alhamdulillah, kesannya hari ini kami dapat menikmatinya semula,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Siti Zakiah Yaakob,39, berkata, penamatan PKPD Secara Pentadbiran tersebut memberikan ruang kepada penduduk kampung yang majoritinya penoreh getah keluar untuk menoreh getah.

"Selepas selesainya PKPD Secara Pentadbiran ini, dapatlah suami saya, Husin Osman,55, keluar menoreh getah bagi menampung perbelanjaan kami sekeluarga. Walaupun tidak dibenarkan keluar, sepanjang tempoh kuarantin ini, kami sekeluarga berterima kasih kepada kerajaan dan NGO kerana datang menghulurkan sumbangan barangan keperluan dapur,” katanya.