Anak Anisah desak inkues ditubuhkan

Afiq Luqman pada sidang akhbar di Parlimen bagi mendesak kerajaan menubuhkan inkues bagi menyiasat kes yang meragut nyawa ibunya, empat tahun lalu.
Afiq Luqman pada sidang akhbar di Parlimen bagi mendesak kerajaan menubuhkan inkues bagi menyiasat kes yang meragut nyawa ibunya, empat tahun lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan digesa memberi penjelasan mengenai status siasatan kes melibatkan seorang pegawai kanan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) cawangan Rantau Panjang, Anisah Ali, 54, yang maut selepas kereta dinaiki dirempuh van tonto dalam operasi Chimera di Pasir Mas pada 7 Oktober 2016.

Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto berkata, beliau telah membangkitkan mengenai siasatan kes berkenaan di Dewan Rakyat pada 28 Julai lalu.

"Sehingga kini saya belum mendapatkan penjelasan, status dan keputusan siasatan kes berkenaan daripada pihak Kementerian Dalam Negeri mahu pun Jabatan Perdana Menteri atau Kementerian Kewangan.

“Walaupun wujud nombor repot 4927/16 dan kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan lima tangkapan dibuat, namun kesemua mereka dibebaskan dengan jaminan kerana kekurangan bukti.

“Agak pelik apabila suspek utama, Mat Yeh menyerah diri pada 2 November 2016, namun dibebaskan pada 15 November 2016 selepas 13 hari dalam tahanan,” katanya pada sidang akhbar di Parlimen di sini hari ini.

Beliau turut menyentuh beberapa kes jenayah yang belum diselesaikan antaranya Amri Che Mat, Joshua Helmi, Ruth Sitepu, Pastor Raymond Koh dan anak kepada Indira Gandhi.

Oleh demikian, beliau berkata, ini adalah masa terbaik untuk Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis 2020 dibentangkan dan diluluskan Parlimen supaya diberi kuasa untuk menyiasat kes salah laku mana-mana anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Ini bukanlah cubaan untuk menyerang Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Artikel Berkaitan:

“Ini adalah tuntutan untuk keadilan dan lebih penting memberkas 'tangan ghaib' di sebalik kes tidak diselesaikan di negara ini,” katanya,

Sementara itu, Afiq Luqman Mohd Baharudin, 26, iaitu anak kepada Anisah mendesak kerajaan agar menubuhkan inkues bagi mengheret pesalah dibawa ke muka keadilan.