Kandang lembu transit jual beli dadah

Dua lelaki dipercayai tokan ditahan di kandang lembu di Kampung Baru Beris Nenas semalam. Gambar hiasan
Dua lelaki dipercayai tokan ditahan di kandang lembu di Kampung Baru Beris Nenas semalam. Gambar hiasan
A
A
A

KEMAMAN - Polis membongkar lokasi baharu yang dijadikan transit jual beli dadah selepas menahan dua lelaki dalam serbuan di kandang lembu di Kampung Baru Beris Nenas, Kijal di sini petang semalam.

Dalam serbuan kira-kira jam 7 petang, polis menahan dua lelaki tempatan masing-masing berusia 33 dan 39 tahun dipercayai sedang menunggu pelanggan di kandang tersebut yang terletak di hadapan sebuah rumah.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, hasil serbuan pihaknya merampas tiga botol berisi serbuk atau ketulan berwarna putih disyaki dadah.

"Kita turut merampas empat tiub straw dan setiap satu tiub berisi satu biji pil berwarna merah disyaki dadah dan empat peket cerah yang setiap satu berisi serbuk/ketulan kristal disyaki dadah.

"Turut dirampas dua tiub straw dan setiap tiub berisi serbuk/ketulan berwarna putih disyaki dadah di dalam beg berzip warna hitam yang disilang pada badan salah seorang daripada suspek.

"Pemeriksaan lanjut di atas lantai kayu bangsal tersebut turut menjumpai dua tiub straw dan setiap satu berisi serbuk/ketulan berwarna putih disyaki dadah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kedua-dua individu itu aktif menjadi tokan dadah sejak tahun lalu berikutan lokasi berkenaan terletak di kawasan terpencil.

Katanya, ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis morfin.

Artikel Berkaitan:

"Mereka yang mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan dadah itu kini direman di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.