Wacana Sinar Harian: Sumber pendapatan negara terjejas

Madeline Berma
Madeline Berma
A
A
A

SHAH ALAM - Sumber pendapatan negara akan mengalami kerugian yang lebih besar jika isu penyeludupan tidak ditangani dengan sebaiknya.

Penganalisis Ekonomi, Profesor Madya Dr Madeline Berma berkata, keadaan itu juga akan menyebabkan pembangunan negara terjejas kerana kerajaan berdepan dengan sumber pendapatan yang terhad.

Menurutnya, sudah tiba masanya isu penyeludupan barangan seperti rokok dan beras diberi perhatian yang serius kerana kesan paling ketara yang dapat dilihat pastinya terhadap ekonomi negara.

"Apabila hasil negara terjejas iaitu cukai berkurangan, maka peluang kita laksanakan pembangunan untuk tujuan lain seperti bina hospital dan sekolah turut terjejas.

"Inilah sebabnya hasil cukai itu sangat penting, bukan (keuntungan dapat) kepada syarikat rokok seperti yang dikhuatiri ramai pihak, keadaan tidak seperti yang difikirkan," katanya pada Wacana Siri-188 bertajuk Sempadan Bolos: Antara Penguatkuasaan dan Kesan Ekonomi di Kumpulan Karangkraf di sini malam tadi.

Wacana itu turut menampilkan dua panelis lain iaitu Komander Pasukan Polis Marin, Senior Asisten Komisioner Mohd Yusoff Mamat dan Pengarah Komunikasi Korporat Japan Tobacco International (JTI), Azrani Rustam, manakala Ahmad Fahmi Mohd Samsudin bertindak sebagai moderator.

Madeline berkata, selain negara berdepan pengurangan hasil pendapatan, isu penyeludupan turut mengakibatkan kesan negatif yang lain.

Katanya, antara perkara yang boleh memberi kesan selain pendapatan negara ialah duti eksais, jenayah dan ketidakstabilan kepada negara.

Artikel Berkaitan:

"Selalunya penyeludupan ini walaupun dia sebut sah macam mana sekalipun, dia akan menyebabkan ada kaitannya dengan isu keselamatan atau jenayah.

"Sebab orang yang terlibat dalam ini biasanya baik macam mana sekali pun kerana benda yang dilakukan itu melanggar peraturan undang-undang maka dia akan timbulkan isu berkaitan keselamatan negara dan akhir sekali dia akan sebabkan ketidakstabilan dalam negara kita," katanya.

Menurutnya, rakyat di negara ini digesa untuk memainkan peranan sebagai mata dan telinga dengan melaporkan segera jika ada maklumat mengenai aktiviti penyeludupan.

Sementara itu, Dr Madeline berkata, isu penyeludupan manusia juga perlu diberi perhatian serius kerana ia kini dilihat sebagai pandemik abad ke-21.

"Banyak kesan yang dialami jika isu penyeludupan manusia ini tidak diberi perhatian secara serius oleh semua pihak," katanya.