Buruh dihukum gantung sampai mati

Tertuduh ke tali gantung selepas didapati bersalah edar dadah.
Tertuduh ke tali gantung selepas didapati bersalah edar dadah.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap seorang buruh selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis methamphetamine dan heroin, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap tertuduh, Abd Wahab Said, 45, di akhir kes pembelaan.

Tertuduh yang juga bekas banduan berdepan tiga pertuduhan mengikut Seksyen 39B (1)(a) dihukum mengikut Seksyen 39 B (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Terdahulu, tertuduh yang berbaju hitam dan berseluar sukan kelihatan tenang sebaik keputusan terbabit dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 123.89 gram di sebuah rumah di Bukit Payong, Marang jam 7.30 pagi pada 10 Disember 2017.

Tertuduh turut didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 51.84 gram dan heroin seberat 43.60 gram di dalam sebuah kereta Perodua Myvi yang diparkir di alamat, masa dan tarikh sama.

Selain itu, tertuduh turut berdepan dua lagi pertuduhan memiliki dadah jenis nimetazipam seberat 7.58 gram dan 7.15 gram di dalam rumah dan kereta sama.

Bagi setiap kesalahan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun bermula daripada tarikh tangkap.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amer Abu Bakar Abdullah dan Ahmad Fadhli Mahmud manakala tertuduh diwakili peguam, Ghazali Ismail dan Masliela Ismail.

Media sebelum ini melaporkan bekas banduan masih tidak serik apabila sekali lagi dicekup di rumah di Bukit Payong, Marang kerana disyaki mengedar dadah selepas hampir enam bulan selesai menjalani hukuman penjara buat kali kelima atas kesalahan sama.