Lima tokan dadah kecundang

Abdul Latiff
Abdul Latiff
A
A
A

SHAH ALAM - Kegiatan sindiket dadah yang dipercayai dilakukan lima lelaki terbongkar selepas kesemua mereka diberkas polis dalam serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang dekat sini pada 18 Ogos lalu dengan rampasan dadah bernilai RM130,500.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor, Asisten Komisioner Abdul Latiff Mehat berkata, serbuan pertama pada jam 7 petang berjaya menahan tiga lelaki berusia lingkungan 31 hingga 44 tahun di kawasan tempat letak kereta di Dataran C180, Cheras.

Menurutnya, operasi sepasukan pegawai dan anggota JSJN Selangor itu telah menemui dua bungkusan plastik mengandungi dadah disyaki serbuk ekstasi dianggar seberat 5.71 kilogram (kg).

"Siasatan awal mendapati salah seorang suspek mengaku telah terlibat dalam kegiatan pengedaran sejak tiga bulan lalu.

"Selain itu, semakan juga mendapati ketiga-tiga suspek yang tidak bekerja itu masing-masing memiliki rekod lampau bersabit kes jenayah dan dadah," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, susulan itu, bertindak hasil maklumat dan risikan, pihaknya berjaya menahan seorang lelaki berusia 22 tahun di Bandar Mahkota Cheras selain sitaan sebuah kereta jenis Honda Accord kira-kira jam 8.30 malam.

Katanya, serbuan seterusnya di sebuah rumah di Seri Kembangan telah memberkas seorang lagi lelaki berusia 31 tahun kira-kira jam 11 malam.

"Pemeriksaan telah menemui dadah disyaki ketamin seberat kira-kira 370 gram. Polis kemudian telah merampas peralatan dipercayai diguna untuk membungkus dadah seperti alat penimbang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tegasnya, kesemua suspek yang didapati positif dadah itu telah direman untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 38B Akta Dadah Berbahaya 1952.